PORT DICKSON - Kes denggi di daerah Port Dickson sehingga minggu ke-33 menurun berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sehingga 16 Ogos lalu, sebanyak 47 kes dicatatkan berbanding 89 kes pada tempoh yang sama 2017.

Menurutnya, berlaku penurunan kes sebanyak 47 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

”Taburan kumulatif kes denggi di daerah Port Dickson sehingga tempoh ini adalah, 20 kes di mukim Sirusa, mukim Port Dickson (15), mukim Jimah (11) dan satu kes di mukim Pasir Panjang.

”Tiada kes kematian denggi dilaporkan di daerah Port Dickson sehingga 16 Ogos 2018 (kadar kematian adalah sifar peratus) berbanding satu kes (kadar kematian kes sebanyak 1.12 peratus) pada tempoh yang sama bagi tahun 2017.

“Pada minggu ini pula, tiada sebarang kes didaftarkan di daerah Port Dickson dan kes terakhir dilaporkan di daerah ini adalah pada 1 Ogos lalu di lokaliti Kampung Pacitan di dalam mukim Jimah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, selain tahap kesedaran yang tinggi, gerak kerja yang agresif dengan menghapuskan tempat pembiakan aedes juga merupakan antara faktor kes ini menurun.

Pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan telah dipergiatkan pada masa ini dengan menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes, aktiviti larviciding, semburan pengasapan, Ops Gempur Aedes, promosi kesihatan dan gotong-royong yang melibatkan pihak masyarakat.