TERACHI - Seorang wanita maut apabila kereta yang dinaikinya terbabas sebelum terjunam ke dalam kolam pancing di Kampung Gedang di Kilometer 24.5, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Suzimah Shuhaimi, 28, be­rasal dari Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor menaiki kereta jenis Honda berwarna putih dalam perjalanan ke Kuala Pilah menghala ke Seremban.

Mangsa ditemui maut selepas kereta yang dinaiki dikeluarkan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PDA) dari Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, kenderaan yang menghala ke Seremban dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya walau bagaimanapun tidak sempat kerana ada sebuah bas dari arah bertentangan.

Menurutnya, ketika tiba di jalan itu, kereta mangsa dipercayai cuba memasuki semula lorongnya, namun terlanggar bahagian belakang lori terbabit lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kereta itu hilang kawalan lalu terbabas hingga menjunam ke dalam kolam ikan pancing sedalam 3 meter,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, setakat ini, hanya seorang penumpang sahaja dikenal pasti.

“Pihak polis akan melakukan siasatan lanjut berdasarkan kepada alamat yang tertera di kad pengenalan mangsa.

“Pihak polis tetap berusaha menghubungi saudara mangsa, bagi melihat sama ada mangsa bersama orang lain ataupun seorang diri. Kerja-kerja menyelamatkan ditamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat daerah, Kamarudin Salleh berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.15 petang dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 2.40 petang.

“Setibanya di tempat kejadian, kea­daan kereta itu terbalik dengan tayar keempat-empat ke atas. Kenderaan dua pintu itu ditarik keluar dibantu oleh jentera bomba dan dibantu oleh sebuah treler untuk menariknya ke atas.

“Buat masa ini, seorang mangsa dijumpai. Pihak bomba bersama tiga orang dari PDA bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, anggota dari Bomba dan Penyelamat dari Kuala Pilah seramai enam orang bagi membantu kerja-kerja menyelamat.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TERACHI - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27.5 Jalan Seremban–Kuala Pilah di hadapan simpang Taman Seri Terachi, dekat sini malam kelmarin.
  • TERACHI - Niat sebuah keluarga untuk berpatah balik menghala ke Kuala Pilah semula mengundang padah apabila kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah treler di 24.5 kilometer, kelmarin.
  • TERACHI - – Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, lalu terjatuh dan diseret beberapa meter di Kilometer 28.5 Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.