GEMAS – Sepasang suami isteri berhadapan detik cemas apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Jelai-Bukit Rokan, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa berusia lingkungan pertengahan 50-an dan 60-an itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.

Menurut jurucakap polis, berdasarkan siasatan, kenderaan yang dipandu mangsa jenis Honda hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan, sebelum melanggar pembetung air.

“Si suami mengalami kecederaan parah di bahagian tulang pinggul dan kini ditahan di wad HTAN bagi rawatan lanjut.

 “Manakala, isterinya pula hanya mengalami luka ringan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.