REMBAU - Kerajaan Negeri Sembilan menghormati kontrak kesemua Pengerusi JKKK yang dibuat serta ditandatangani sebelum ini.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, kesemua yang masih lagi memegang jawatan sebagai Pengerusi JKKK berkenaan diharap dapat meneruskan perkhidmatan demi masyarakat setempat.

Menurutnya, dia mengalu-alukan kerjasama dari semua Pengerusi JKKK atau Ketua Kampung sedia ada untuk meneruskan perkhidmatan walaupun sedar mempunyai fahaman politik yang berlainan.

“Kita (Kerajaan Negeri) masih menghormati kontrak sedia ada sehingga tarikh tamat yang dijangka pada Jun atau Julai ini.

“Kita harap agar ketua kampung ini janganlah risau atau gundah gulana. Kita masih ada transisi yang baik dan akan teruskan sehingga tamat tempoh kontrak mereka.

"Kita tak pecat hari ini dan berharap semuanya (Pengerusi JKKK) bertenang,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Santai Ngeteh di Parkir Bazar MARA Chembong di sini, semalam.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya memberi jaminan untuk melantik Pengerusi JKKK yang mampu bekerja lebih baik bagi sama-sama membawa agenda memajukan masyarakat di negeri ini.

“Sesiapa yang dilantik diharap dapat kerja lebih kuat dari dulu,” katanya.

Turut hadir, Ketua PKR Cabang Rembau, Yusuf Tapar dan Pegawai Daerah Rembau, Amino Agos Suyob.