SEREMBAN - Pakatan Harapan Negeri Sembilan mengumumkan barisan kepimpinan gabungannya di negeri ini dengan nisbah 4:4:4:4 antara empat parti komponennya.

Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun dipilih sebagai Pengerusi Pakatan Harapan oleh kepimpinan tertinggi pakatan itu sebelum ini.

Timbalan Pengerusi pula , Loke Siew Fook (DAP), Zulkefly Mohamad Omar (Amanah) dan Kamarulzaman Kamdias (Bersatu).

Naib Pengerusi dilantik dari setiap parti, P.Gunasekaran (DAP), Mohamad Taufek Abd Ghani (Amanah), M.Ravi (PKR) dan Baharuddin Ahmad (Bersatu).

Cha Kee Chin dari DAP dilantik sebagai Setiausaha, Ketua Penerangan, Osman Mohd Dusa (Bersatu) dan Bendahari, Bakri Sawir (Amanah).

Pengarah Pilihan Raya pula Dr Mohamad Rafie Ab Malek (PKR), Pengarah Manifesto dan Mobilisasi, Ismail Ahmad (PKR) dan Pengarah Strategik, Mustafa Kadir (Amanah).

Ketua Pemuda J.Arul Kumar (DAP) dan Ketua Wanita pula dilantik dari (Bersatu), Maimunah Kader.

Menurut Aminuddin, anggota kepimpinan baharu itu dilantik hasil perbincangan dan persetujuan bersama dalam mesyuarat diadakan dengan mengambil kira pengalaman dan kebolehan masing-masing.

 “Dalam organisasi ini lima daripadanya merupakan wakil rakyat dan masing-masing memegang jawatan penting dalam parti mereka. Malah ada yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat.

 “Jadi sudah tentunya barisan kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang dilantik ini adalah yang terbaik.  Yang penting setiap parti diberikan peranan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas mesyuarat antara pemimpin gabungan itu yang diadakan di sini, kelmarin.

Ketika ditanya mengenai kedudukan kerusi bagi setiap parti, Aminuddin berkata, dalam mesyuarat terbabit mereka juga telah bersepakat untuk berlapang dada menerima keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi mengenainya.

Beliau berkata, soal calon pula akan ditentukan oleh setiap parti dan mereka bersedia memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Setiap parti sudah ada calon mereka, tapi di kawasan mana akan bertanding tak tahu lagi kerana ia akan dirundingkan di peringkat pusat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Politik wang tidak mustahil akan terus menjadi percaturan pihak tertentu untuk mengumpan mana-mana pemimpin Pakatan Harapan termasuk sayap pemuda yang mempunyai potensi ke depan untuk beralih arah dari pakatan pembangkang.
  • BUKIT MERTAJAM - Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin memimpin barisan Pemuda Harapan Pulau Pinang.
  • JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan Johor sudah menggerakkan jentera di semua peringkat untuk menghadapi PRU akan datang.
  • IPOH - Pakatan Harapan Perak telah menyiapkan manifesto bagi PRU14 yang akan diumumkan secara rasmi pada bulan hadapan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.