GEMAS – Seorang peneroka Felda Palong 4, Jempol, tekad menunaikan nazarnya mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan mengayuh beca selama kira-kira 42 hari bagi meraikan kejayaan negara yang muncul sebagai juara keseluruhan Sukan Sea yang lalu.

Sitdek Ahmad Ali, 59, memulakan jelajah solonya itu di malam Ambang Merdeka Daerah Tampin di Dataran Gemas yang dilancarkan Adun Gemas, Datuk Abdul Razak Ab Said.

Menurut Sitdek yang merupakan anak jati Kampung Bachang, Melaka itu, dia melakukan jelajah berkenaan sebagai tanda sokongan kepada atlet-atlet negara yang mengharumkan nama negara.

“Saya hanya atlet kampung sahaja. Kalau nak jadi atlet pun usia dah lanjut. Bila ada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan berprestij tinggi, saya sangat bangga dan ingin menyatakan tanda sokongan kepada mereka.

“Kali terakhir saya buat jelajah Semenanjung Malaysia dengan menarik Trekcha pada 2000. Pada masa itu saya berjaya mencatat rekod di dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

“Kali ini setelah 17 tahun, saya sekali lagi membuat jelajah solo tetapi dengan mengayuh beca sejauh 2,315 kilometer,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sitdek berkata, dia kini sedang meneruskan kayuhannya dari Sepang menuju ke Sungai Pelek dan berharap agar orang ramai akan dapat sama-sama meraikan jelajahnya itu sebagai tanda sokongan kepada negara serta sempena sambutan merdeka.

Menurutnya, walaupun hujan dia tetap meneruskan penjelajahan berkenaan bagi memastikan dapat menamatkan jelajah pada tempoh masa ditetapkan.

Penjelajahan diteruskan ke Banting, Selangor, sebelum ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan berakhir kembali di Gemas.

Untuk rekod, Sitdek sebelum ini pernah melakar sejarah pada 1995 dengan mengayuh beca dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sempena Hari Kebangsaan selama 12 hari.

Pada November 1999, Sitdek berjalan kaki dari Felda Palong ke Bandar Hilir Melaka sejauh 80 kilometer dengan catatan masa 16 jam 30 minit.

Pada 29 hingga 30 Ogos 2000, Sitdek menarik trekcha aejauh 90 kilometer dari Felda Palong ke Bandar Hilir selama 23 jam sempena Hari Kebangsaan.

Kemudiannya pada 1 Oktober hingga 19 November 2000, Sitdek menjelajah Semenanjung Malaysia bersama Trekcha.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.