SEREMBAN – Penduduk sekitar Seremban kini mempunyai satu lagi pilihan tempat untuk menjamu selera apabila projek kendera saji atau trak makanan mula dibuka di pekarangan parkir bangunan Plaza Seremban Mara.

Berkonsepkan santai, terbuka dan harga berpatutan, menjadikan trak makanan ini pilihan utama khususnya golongan muda untuk beristirahat sambil menjamu selera.

Trak makanan kekal yang pertama di Seremban ini baharu sahaja dibuka dua bulan lalu, namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan sehingga menjadi lokasi pilihan penduduk di sekitar Seremban.

Bermula dengan menyediakan 30 kerusi dan meja sahaja, kini pihak penganjur terpaksa menambah bilangan kepada 60 hingga 70 buah kerusi serta meja makan, berikutan pengunjung semakin ramai terutamanya setiap hujung minggu.

Projek yang julung kali diadakan itu adalah di bawah anjuran Mara dengan kerjasama Persatuan Peniaga Trak Makanan Bangi, atau lebih dikenali FoodTruck SqFT @Mara.

Konsep santai

Naib Pengerusi Persatuan Peniaga Trak Makanan Bangi, Mohd Syazwan Shamsul Bahar berkata, lebih 15 pengusaha trak makanan dibawa khas dari Bangi memenuhi pekarangan parkir di bangunan Plaza Seremban Mara, setiap Jumaat hingga Ahad, bagi memberi peluang kepada warga Seremban menikmati juadah makanan yang berkonsepkan santai ini.

Katanya, pelbagai makanan boleh didapati di trak makanan ini, daripada makanan ala barat, sehingga kes masakan kampung, semuanya ada disediakan di sini.

“Kita bersyukur kerana food truck yang baru sahaja dibuka semakin dikenali, malah semakin digilai khususnya golongan muda untuk datang melepak.

“Bukan sahaja ada pelbagai juadah makanan, tetapi para pengunjung juga akan dihiburkan dengan kumpulan buskers yang akan membuat persembahan selama tiga hari kita beroperasi.

“Alhamdulillah, sasaran awal kita untuk mendapatkan lebih 2,000 pengunjung untuk tiga malam tercapai, malah dari hari ke hari jumlah pengunjung ke food truck di sini semakin bertambah terutamanya pada malam minggu,” katanya.

Harga berpatutan

Tambahnya, kesemua makanan yang dijual di sini mengenakan harga yang sangat berpatutan bagi memastikan semua golongan mampu beli dan makan di sini.

Antara juadah yang sering mendapat sambutan, kambing bakar El-Jate, kebab, burger, nasi lemak chicken chop, mee sup Sabah, spageti, lasagna, beef steak, air buah, air jug gergasi, dan pelbagai lagi juadah yang pastinya akan menambat hati pengunjung.

Kata Mohd Syazwan, bagi memastikan kebersihan dan keselesaan pengunjung sentiasa terjamin, pihaknya ada menyediakan dua kakitangan khas yang akan membersihkan setiap meja yang telah digunakan.

Sementara itu, salah seorang peniaga, Iqwan Hafiz, 27, dari Ito Station memberitahu hasil jualan di trak makanan di sini sangat memberangsangkan.

Dia yang datang dari Nilai berkata, setiap malam gerainya mampu menjual lebih 200 bungkus pelbagai jenis makanan yang berkonsepkan ala barat.

Aneka pilihan

Katanya, dengan memegang tagline #takpadutakjual itu, gerainya mampu menawarkan juadah istimewa, berkualiti dengan harga yang sangat berpatutan.

Selain itu, bagi penggemar sup dan inginkan kelainan rasa sup dari Tenom, Sabah, mereka boleh berkunjung ke trak makanan di sini untuk mencubanya.

Menurut pemilik gerai Tenom Ranger, Jumat Ibrahim, 43,  aneka sup yang berasaskan resipi dari Sabah, dibuat khas untuk pengunjung tapak trak makanan di Seremban.

Dia yang datang dari Putrajaya memberitahu, pengunjung boleh merasai sendiri keunikan dan keenakan sup resipi istimewa dan tersendiri itu hanya di trak makanan ini sahaja.

“Tidak perlu membazir duit pergi ke Sabah, di sini pengunjung boleh merasai dan menikmati sup Sabah yang dibawa khas untuk penduduk Seremban.

“Datang beramai-ramai ke food truck Plaza Seremban Mara kerana di sini banyak lagi juadah yang boleh didapati dengan mudah,” katanya.

Trak makanan ini mula beroperasi setiap hari Jumaat hingga Ahad, pada jam 5 petang sehingga 2 pagi.

Warga Seremban tidak perlu lagi pening kepala untuk mencari tempat makan, datang sahaja ke sini untuk menikmati pelbagai juadah menarik khas untuk seisi keluarga.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Terengganu Kitchen Sdn Bhd (T-Kitchen) kini mampu meningkatkan pengeluaran nasi dagang sejuk beku sehingga mencecah 10,000 bungkus dalam tempoh sehari bagi meluaskan lagi pasaran makanan tradisional Terengganu itu pada skala besar.
  • MUAR - BERGELAR ibu tunggal diakui bukan mudah apatah lagi dalam cabaran membesarkan anak yang masih bersekolah dan dahagakan perhatian.
  • ALOR GAJAH - Seorang pelajar lulusan Ijazah al- Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kreatif menghasilkan aiskrim pelbagai rasa dengan gabungan warna menarik selain turut menjamin status halal produk dihasilkan.
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan menjalankan perniagaan menggunakan trak atau Business on Truck khususnya dalam kalangan belia di negeri ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.