JASIN - [VIDEO] Sebuah kedai barangan perkakasan (hardware) di hadapan stesen minyak Petronas di Bemban, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 4.30 minit pagi tadi.

Timbalan Pengarah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Noor Hisham Kamal berkata, pihaknya mendapat panggilan daripada pekerja premis tersebut mengenai kejadian sekitar jam 4.55 minit pagi.

Menurutnya, empat jentera dan 14 anggota Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari, Jasin dan Bukit Katil dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kami tiba sekitar jam 5.33 minit pagi dan mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk memadamkan api marak.

"Ketika sampai, kami dapati 80 peratus bahagian kedai telah terbakar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, hari ini.

Jelas Noor Hisham, ketika kejadian, terdapat lima pekerja premis yang merupakan warga asing bermalam di situ.

"Menurut salah seorang pekerja tersebut, dia menyedari kebakaran tersebut di bahagian tengah premis dan segera menghubungi pihak bomba.

"Bagaimanapun semuanya selamat dan tiada sebarang kecederaan berlaku kerana mereka berjaya melarikan diri," katanya.

Katanya lagi, api merebak cepat berikutan keadaan angin kuat.

"Disebabkan itu, dalam masa beberapa minit sahaja bahagian tengah premis yang merupakan tempat simpanan cat dan bahagian stor premis ini hangus sekelip mata," katanya.

Pihak bomba selesai menjalankan operasi overhaulin sekitar jam 11.00 pagi tadi. Manakala, punca dan kerugian kebakaran masih dalam siasatan.