KUALA KLAWANG - Karnival Jelebu 1Malaysia 2013 akan berlangsung di tapak pasar tani di sini selama tiga hari mulai esok.
   
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, karnival akan menjadi platform terbaik kepada 84 orang pengusaha serta usahawan setempat memasarkan dan memperkenalkan produk mereka.
   
"Pelbagai jenis produk dan barangan termasuk bahan makanan boleh didapati di gerai jualan yang disediakan. Ini akan memberi peluang kepada para pengguna untuk mendapatkan barangan dan produk yang ditawarkan dengan kadar harga yang berpatutan," katanya di sini, hari ini.
   
Beliau berharap menerusi karnival itu, ia akan memberi peluang kepada usahawan untuk mengetengahkan dan memperkenalkan produk mereka.
   
"Karnival ini juga memberi peluang kepada usahawan dan bakal usahawan mendapatkan khidmat nasihat serta menyelesaikan masalah dengan agensi yang terlibat dalam bidang keusahawanan melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan.
   
"Karnival ini turut membuka peluang kepada orang ramai berinteraksi dengan kakitangan swasta dan kerajaan yang mewakili jabatan serta agensi masing-masing," katanya.
   
Yunus berkata sebanyak 30 jabatan dan agensi kerajaan akan mengadakan pameran sepanjang karnival tersebut.
   
Katanya karnival anjuran bersama Majlis Perundingan Koperasi dan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Jelebu akan dimeriahkan dengan acara sukaneka rakyat, senamseni, senamrobik, kenduri kampung dan persembahan pentarama.
   
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dijangka merasmikan karvinal. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.