SEREMBAN - Banjir kilat melanda Kampung Rawa di Lenggeng dekat sini berikutan hujan tidak berhenti selama dua jam, petang tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan, Mejar Mohd Rohaidi Halim berkata kejadian banjir kilat itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang.

"Sebanyak empat buah rumah dinaiki air, namun banjir surut jam 6 petang tadi," katanya.  

Sementara itu, salah seorang penduduk kampung tersebut Mohd Nor Abdul Raub, 82, berkata kejadian yang berlaku itu menenggelamkan jalan sedalam dua kaki.

"Air yang naik macam air laut, dalam dan sangat deras ketika itu, perasaan jadi takut," katanya. - Bernama