SEREMBAN – Seramai 16 pemilik motosikal yang terbakar ketika diletakkan di tingkat tiga parkir bangunan Terminal One 27 Mei lalu menuntut keadilan dan ganti rugi sewajarnya diberikan kepada mereka.

Difahamkan, setelah tiga bulan berlalu, mereka tidak mendapat sebarang pampasan dan ganti rugi daripada pihak terbabit.

Malah,  tiada perkembangan dimaklumkan susulan kejadian itu walaupun laporan dibuat kepada pihak berkaitan.

Seorang mangsa, M Zulkifli Hassan, 45, berkata, mereka sudah lama menunggu untuk mengetahui jawapan daripada pihak berkenaan, namun setakat ini menghampakan.

“Lebih menyedihkan, mereka (pihak berkenaan) seperti lepas tangan. Tak kiralah dari pihak pengurusan parkir yang dilantik MPS mahupun MPS sendiri.

“Suruh diajukan masalah ini kepada pihak MPS, kami sudah pun buat, kemudian MPS pula kata kena ajukan masalah ini kepada pihak pengurusan parkir pula.

“Semua laporan pun kami ada dan mengikut prosedur, tetapi malangnya kami tak tahu status dan masalah ini seperti tergantung,” katanya kepada pemberita, di sini.

Mohamad Alif Johari, 22, pula berkata, kebanyakan mangsa yang parkir motosikal mereka di tingkat tiga bahagian parkir motosikal di bangunan Terminal One itu adalah mereka yang bekerja di Kuala Lumpur.

“Rata-rata telah parkir lebih 10 tahun dan kejadian ini sedikit sebanyak menimbulkan banyak persoalan termasuk dari segi tahap keselamatan.

“Kami bayar parkir tiap hari. Tetapi tak kan ini yang kami dapat (tiada ganti rugi) setelah tiga bulan berlalu kejadian tersebut.

“Sejauh mana tahap keselamatan yang disediakan, kami sekarang ini amat meragui peranan pihak bertanggungjawab dalam aspek tersebut. Jangan hanya fikir mahu kaut keuntungan sahaja tetapi aspek keselamatan pengguna diabaikan begitu sahaja,” katanya.

Bagi L Elisha Grace, 31, dalam kejadian itu, pihak terbabit wajar menyatakan permohonan maaf kepada mangsa terlibat.

“Jangan biar kami tertunggu-tunggu menanti jawapan. Yang pastinya kami mahukan keadilan dan ganti rugi sepatutnya meskipun terpaksa pasrah dengan kejadian yang berlaku tempoh hari,” katanya.

Sementara itu, pegawai pengurusan parkir motosikal bangunan Terminal One yang hanya ingin dikenali sebagai Suhairi ketika dihubungi berkata, pihaknya adalah kontraktor dilantik MPS yang hanya bertanggungjawab dalam soal kutipan parkir.

“Kami turut bayar sewa kepada MPS. Untuk kejadian yang berlaku itu, ia bukan di bawah tanggungjawab pihak pengurusan, memandangkan bangunan itu milik MPS termasuk dari aspek keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, Sinar Harian gagal menghubungi pihak MPS bagi mendapatkan maklum balas mengenai itu tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SERI MANJUNG - Pelanggan sebuah syarikat perancang perkahwinan yang mencetus kontroversi sebelum ini memohon agar pemiliknya menyegerakan proses bayaran ganti rugi kepada mereka seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.
  • BANGI - Sebuah kereta terbakar dalam kejadian berhampiran Tol Bangi di sini, semalam.
  • SEREMBAN - Sejumlah 111 peniaga yang terjejas ekoran kebakaran di Pasar Besar Seremban 9 Sept lepas menerima bantuan wang tunai RM1,000 setiap seorang yang disampaikan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon.
  • SEREMBAN - Replika dinosaur jenis pemakan sayur atau 'Brachiosaurus' setinggi 12 meter yang dipamerkan di laluan masuk Sentral Bazar Nilai 3, Nilai, terbakar petang tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.