MELAKA - Jumlah mangsa banjir di Melaka terus menurun kepada 94 orang mangsa setakat jam 8 pagi ini berbanding 98 orang malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, kesemua mangsa daripada 24 keluarga itu masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir di daerah Jasin dan Alor Gajah.

Beliau berkata, semua mangsa berasal dari tiga kampung yang terjejas iaitu Kampung Tehel dan Kampung Tersusun Seri Mendapat di Jasin serta Kampung Seri Jeram di Alor Gajah.

"Setakat ini tiga pusat pemindahan masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel dan Balai Raya Seri Mendapat di Jasin serta Balai Raya Kampung Seri Jeram di Alor Gajah.

"Jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Tehel adalah seramai 67 orang daripada 18 keluarga manakala di Balai Raya Seri Mendapat adalah seramai 10 orang melibatkan dua keluarga," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata, jumlah mangsa banjir di Balai Raya Kampung Seri Jeram pula adalah seramai 17 orang daripada empat keluarga.

Katanya, keadaan cuaca di negeri itu pada hari ini dilaporkan cerah dan semua mangsa banjir akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sekiranya keadaan banjir di kawasan yang terlibat beransur pulih.

Effendy berkata, pihaknya dan beberapa agensi penguat kuasa yang terlibat dengan banjir akan terus memantau perkembangan semasa.

Katanya, penduduk di negeri berkenaan dinasihatkan sentiasa mengambil langkah berhati-hati sekiranya hujan lebat dalam tempoh yang lama berulang.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir yang terakhir di Dewan Suarah Mukah di bahagian tengah Sarawak ditutup pada 12.30 tengah hari ini ekoran keadaan cuaca yang baik sejak beberapa hari lepas, walaupun ada beberapa kawasan rendah dalam negeri yang masih digenangi air.
  • KUCHING - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus berkurangan dengan ketara apabila jumlahnya hingga tengah hari ini berkurangan sekitar 536 orang berbanding 1,012 malam semalam.
  • KUCHING - Banjir di Sarawak kian beransur pulih setakat pukul 8 malam ini apabila mangsa banjir menurun kepada 3,173 mangsa daripada 991 keluarga yang masih berada di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian.
  • KUCHING - Sejumlah RM32 juta diperlukan untuk menangani masalah banjir akibat fenomena air pasang besar di Sebuyau, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
  • KUCHING - Jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan pengurangan kepada 4,686 orang setakat 4 petang ini, berbanding 5,679 mangsa tengah hari tadi.