• Jual minyak masak terpakai
1 /

KAMPUNG CHUAH – Pembuangan minyak masak terpakai tanpa pengurusan betul akan mengakibatkan pencemaran terutamanya pencemaran air.

Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembe­ntungan (JPP), Husnani Shamsuddin berkata, dalam usaha menangani masalah itu, JPP mengambil pendekatan membeli minyak masak terpakai daripada orang ramai untuk dikitarkan semula menjadi produk selain dari minyak masak seperti biodiesel iaitu satu sumber alternatif kepada petroleum, sabun dan lilin.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kerjasama daripada orang ramai untuk tidak membuang minyak ­masak terpakai mereka tetapi kumpulkan ia ke tempat yang dikhaskan oleh jabatan,” katanya ketika ditemui semasa Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak Komuniti Kampung Chuah anjuran JPP dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Chuah, Jawatankuasa Ke­majuan dan

Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chuah, baru-baru ini.

Husnani berkata, rata-­ratanya tidak mengetahui ­bahawa penggunaan minyak masak untuk menggoreng ­secara berulang kali boleh ­memudaratkan kesihatan selain akan berlakunya pencemaran jika minyak masak ­terpakai tidak diurus dengan baik untuk dilupuskannya.

“Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak Komuniti Kampung Chuah adalah yang pertama di Negeri Sembilan dan pusat pengumpulannya di balai raya, masjid dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chuah. Chuah berhampiran pantai dan apabila minyak terpakai tidak diurus pembuangannya dengan baik, lama kelamaan ia akan menyumbang kepada pencemaran laut sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan. Lantaran itu, semua ­disarankan untuk sama-sama menjayakan program ini di mana dalam mesyuarat bersama wakil penduduk juga telah meletakkan persetujuan ­untuk hasil dari jualan minyak masak terpakai itu nanti akan disalurkan kepada pembangunan pendidikan murid di SK Chuah,” katanya.

Katanya, walau bagaimanapun penduduk diminta ­berwaspada jika ada individu yang ingin membeli minyak masak terpakai dengan menawarkan harga lebih tinggi ­kerana dikhuatiri minyak tersebut dikitarkan semula untuk dijadikan minyak masak dan dijual ke pasaran.

“JPP ataupun egen sah yang dilantik akan membeli minyak masak terpakai dengan harga RM1 untuk satu ­liter minyak. Mmana-mana kawasan yang berminat untuk sama-sama menjayakan program ini boleh terus menghubungi JPP atau melayari laman web www.jpp.gov.my,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama pada program berkenaan, Pengarah Bahagian Khidmat Pengu­rusan, Jabatan Perkhidmatan Pemben­tungan, Saripah Abdul Mutalib; Penolong ­Peg­awai Daerah, Nurhazlin Makli dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Hal Ehwal Wanita Islam Ampang (Helwani), Muh­aidatul Ismah Ismail.