KUALA PILAH - Bukan mudah untuk menerokai Taman Eco Rimba Gua Batu Maloi Johol, jika tiada kesabaran dan kecekalan diri yang tinggi.

Namun kerana keunikan Gua Batu Maloi, ia menjadi bualan peminat aktiviti ekstrem hingga Taman Eco Rimba Gua Batu Maloi dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Meskipun kedudukannya terletak 68km dari Seremban melalui jalan dari Seremban atau 8km dari Johol, namun taman eko ini tetap menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negeri.

Pemandu pelancong bertauliah, Muhamad Nazri Ellango Abdullah berkata, hutan lipur ini terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tampin dari jenis hutan Dipterokarp Pamah yang kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna.

“Sebelum menyusup masuk ke dalam satu-satunya gua batu granit di Malaysia ini, mereka akan meredah laluan air sungai yang sangat sejuk dan dapat menimba pengalaman di samping menghargai alam sekitar yang cantik di kawasan ini.

“Keseluruhan jarak penerokaan gua ini adalah sejauh 2.38km dari tapak perkhemahan dan perlu menempuh 24 check point,” katanya.

Menurutnya, dalam penerokaan itu, pengunjung akan singgah di Gua Kelawar, Gua Kapal dan Gua Buddha,” katanya mengambil tempoh masa selama empat jam untuk keluar dari gua tersebut.

Cabaran granit licin

Dalam pada itu, aktiviti sukan lasak ini memerlukan stamina, selain berhadapan dengan gua kecil habitat kelawar, menjumpai batu berbentuk kapal dan sebagainya.

“Peneroka kawasan gua ini memerlukan kerjasama pasukan apatah lagi lokasi itu dipenuhi batu granit licin selain banyak hidupan dan serangga.

“Paling mencabar peserta perlu melalui rekahan yang sempit untuk melepasi laluan dan kadang kala ada yang perlu menyusup, merangkak dan memegang dinding gua untuk mengelakkan daripada tergelincir.

“Kita perlu merasai sendiri cabarannya, barulah tahu bahawa banyak sekatan seperti laluan licin, sempit, gelap dan menakutkan dalam gua terutamanya di gua ini,” katanya.

Justeru itu, beliau amat menggalakkan orang ramai untuk meneroka Gua Batu Maloi kerana menjanjikan pengalaman berharga.

Seorang peserta Mohd Saiful Zahari, 27, mengakui telah menerokai Gua Batu Maloi sebanyak dua kali dan ia amat mencabar fizikal dan mental.

“Tenaga juga kena kuat sebab perlu harungi pelbagai laluan sukar di samping celah rekahan batu yang sempit untuk menyusup ke dalam gua yang sedikit gelap.

Gua Buddha, legenda pemuda keturunan Orang Asli yang terdapat pada ukiran di atas batu granit yang dikatakan sebagai Maloi (kiri) dan puteri bunian (kanan), namun sehingga kini tiada kesahihanya.

“Mujur saya pernah masuk ke dalam gua ini sebelum ini maka terdapat sedikit pengalaman boleh dikongsi bersama rakan kumpulan yang lain,” katanya

Selain itu, pengunjung perlu melalui air sungai yang sejuk sebelum tiba di pintu gua.

Tanam 30 pokok

Sementara itu, Pegawai Pejabat Hutan Kuala Pilah, Mohamad Rizal Razali berkata, pihaknya sentiasa memberi perkhidmatan terbaik untuk para pengunjung di sini.

“Demi memelihara alam semula jadi, pihak kami anjurkan program menanam 30 pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa selain menaik taraf kemudahan tandas dan surau.

“Program anjuran Pejabat Hutan daerah Negeri Sembilan Timur ini, kesinambungan sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Negeri Sembilan telah diadakan di Pusat Pendidikan Pelancongan Sungai Menyala pada 31 Mac lalu,” katanya.

Katanya, selain itu, jumlah pengunjung pada 2017 mencecah 10,381 orang berbanding 2016 iaitu seramai 3,462 sahaja.

“Ini memberi gambaran bahawa gua ini menjanjikan keindahan dan keunikan tersendiri kepada penggemar aktiviti mencabar,” katanya.

Hujung Banjaran Titiwangsa

Dalam pada itu, difahamkan gua itu terbentuk daripada formasi batuan granit putih yang timbul daripada kerak bumi kira-kira 100 juta tahun dahulu.

Gua Batu Maloi yang terletak di lembah pertengahan dua puncak gunung penghujung Banjaran Titiwangsa iaitu Gunung Datuk dan Gunung Tampin, sememangnya menjanjikan pelbagai cabaran.

Ia juga pernah dikunjungi pelancong Jepun, Korea dan Singapura yang menggemari aktiviti lasak dan pelbagai lagi aktiviti boleh dilakukan di sini.