KUALA PILAH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandang serius pandangan dan pertanyaan seorang individu berhubung dakwaan tiada bantuan untuk adiknya, yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) di laman Facebook.

Pegawai JKM Kuala Pilah, Mohamad Affendy Mat Sani berkata, individu itu diminta memberikan kerjasama dengan tampil di kaunter Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kuala Pilah, atau mana-mana kaunter JKM berhampiran untuk mendapat maklum balas dari pihaknya.

“Sesiapa sahaja boleh berbuat demikian atau menghubungi PKMD Kuala Pilah di talian 06-4811163.

“Mungkin ada berlaku kekeliruan berhubung bantuan kepada pemegang kad OKU. Kita bersedia menawarkan perkhidmatan untuk bantu golongan memerlukan.

“Pada masa sama, kita sentiasa perbaiki mutu perkhidmatan demi kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang individu yang menyatakan adiknya tidak mendapat bantuan meskipun memiliki kad OKU.

Dalam kenyataan individu di Facebook menyatakan, adiknya adalah pemegang kad OKU tetapi tidak menerima bantuan JKM.

Individu itu turut menjelaskan, sebelum ini adiknya menerima bantuan JKM tetapi didakwa telah dipotong dengan alasan sedang mengemas kini data.

Bagaimanapun, sehingga kini bantuan itu tidak diperoleh malah individu itu turut mempersoalkan pemegang kad OKU ada memiliki bantuan atau elaun sewajarnya.

Bukan itu sahaja, individu itu juga mendakwa kakitangan JKM hanya melaksanakan tugas tanpa penilaian teliti hingga beberapa golongan memerlukan serta pemegang OKU terlepas pandang daripada menerima bantuan.

Sementara itu, isu ini turut mendapat perhatian Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga merangkap Adun Pilah, Datuk Norhayati Omar.

Beliau berkata, setiap Khamis seorang pegawai JKM akan ditempatkan di setiap pusat khidmat masyarakat Dun seluruh Negeri Sembilan bermula jam 9 pagi sehingga 1 tengah hari.

“Tujuannya untuk menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai selain beri kemudahan untuk bertemu dengan JKM secara berpusat di kawasan tersebut.

“Berkaitan isu bantuan JKM yang dipersoalkan individu itu, saya menawarkan khidmat untuk buka ruang khas Khamis ini (15 Februari) jam 2 petang hingga 5 petang Pusat Khidmat Dun Pilah.

“Saya, pegawai JKM dan Baitulmal akan beri laluan khas kepada orang ramai untuk beri khidmat penerangan, serta bantuan berkaitan yang diperlukan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA PILAH - Semua pengasuh dan taska diminta berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan jabatan berkenaan mengawal selia demi keselamatan kanak-kanak.
  • KUALA PILAH - Walaupun mereka tergolong dalam kategori cacat fizikal, itu tidak menghalang golongan terbabit untuk bekerja seperti individu normal menerusi program-program yang disediakan kerajaan dan agensi berkaitan.
  • KUALA PILAH - Biarpun mengalami kekurangan diri, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) sanggup berulang alik dari Bahau ke Pekan Pilah, semata-mata mahu menjalankan tugas secara sukarela di Masjid Jamek Yam Tuan Raden, di sini.
  • KUALA PILAH - Biarpun miskin harta benda, insan ini kaya dengan kasih sayang apabila sanggup menjaga saudaranya orang kurang upaya (OKU), walaupun ketika ini dia juga menggalas tanggungjawab berat menjaga suaminya yang mengalami strok.