SEREMBAN - Sebuah Jawatankuasa Khas Dalaman ditubuhkan bagi menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kemalangan yang melibatkan kematian murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan.

Kementerian  Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan malam ini berkata jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Pengarah Pendidikan Negeri Pkharuddin Ghazali.

"Dalam masa yang sama Jabatan Pendidikan Negeri juga diminta untuk membantu keluarga murid terlibat.

"KPM juga memohon kerjasama semua pihak supaya menghentikan penyebaran maklumat berkaitan kejadian ini bagi menghormati perasaan keluarga murid terlibat termasuk perasaan guru-guru dan murid  sekolah berkenaan," kata kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi tadi, pelajar Nur Afini Roslan, 14, maut manakala, dua pelajar lelaki cedera akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput di padang sekolah itu.

Nur Afini, murid tingkatan dua, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala manakala dua lagi, masing-masing dari tingkatan satu dan dua, dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas bagi mendapatkan rawatan.

KPM berkata berdasarkan laporan awal yang diterima, semasa raptai perbarisan sukan di padang  sekolah, sebuah traktor pemotong rumput sedang menjalankan kerja pemotongan rumput berhampiran,  pada jarak kira-kira 30 meter.

Ketika traktor tersebut berhenti, satu bunyi yang kuat didengari oleh semua murid yang terlibat dalam raptai itu dan pada masa yang sama, guru-guru raptai mendapati tiga murid tercedera di bahagian kepala.

"KPM melahirkan rasa sedih, simpati dan kesal terhadap kejadian ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga murid terlibat," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULIM - Seorang pelajar tingkatan empat, Muhammad Solihin Rosdi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kenari ditemui maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Taman Tiong, di sini.
  • GEMAS - [VIDEO] Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (Star) Gemas memohon netizen menghentikan sebarang penyebaran gambar arwah yang terbabit dalam insiden bilah mesin rumput, pagi tadi.
  • GEMAS - Kes pelajar perempuan maut terkena bilah mesin rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman (Star) Gemas pagi tadi, kini disiasat di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
  • KUALA TERENGGANU - - Keinginan mencipta revolusi baru bagi mesin rumput memberi ilham kepada pelajar tahun akhir Kejuruteraan Elektrik, Mohd Badrul Hisham Zarawi, 21, mencipta mesin potong dan sedut.