SEREMBAN – Unit Hal Ehwal Bukan Islam yang diwujudkan buat pertama kali di Negeri Sembilan tidak perlu dipolitikkan.

Bukan sahaja Negeri Sembilan, sebaliknya di Pulau Pinang dan Selangor unit ini telah terlaksana lebih 10 tahun lalu.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar berkata, pembentukan unit baharu ini hanya untuk menjaga dan melindungi masyarakat bukan Islam, tanpa menjejaskan keistimewaan masyarakat Islam.

Katanya, keistimewaan orang Melayu dan masyarakat Islam di negeri ini tidak terganggu biarpun unit ni dilaksanakan.

“Sebelum ini unit tersebut (Hal Ehwal Bukan Islam) tiada dalam pimpinan kerajaan negeri terdahulu, banyak isu dan masalah masyarakat bukan Islam seperti masalah tanah rumah-rumah ibadat, tanah kuil, gereja, dan tokong tidak diselesaikan sehingga kini.

“Jika sebelum ini masalah yang dihadapi oleh masyarakat bukan Islam tidak diberi perhatian oleh kerajaan negeri terdahulu, tetapi kini semua masalah dan hal ehwal bukan Islam diberi keutamaan, dengan itu mereka mempunyai saluran yang boleh dirujuk secara terus ke kerajaan negeri.

“Ada banyak masalah dan isu masyarakat bukan Islam di negeri ini yang tidak diselesaikan, kita berharap melalui cara ini semua keperluan serta masalah rakyat dapat diberi perhatian dengan lebih berkesan.

"Jadi pada saya unit ini tidak perlu dijadikan isu, memandangkan ia hanya melibatkan masalah dan hal ehwal kaum bukan Islam sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam FB Live Sinar Harian di Pejabatnya, dekat Wisma Negeri semalam.

Tambahnya, unit tersebut ditubuhkan bukan untuk melindungi mana-mana kaum, sebaliknya untuk memudahkan kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat bukan Islam secara saksama.

Katanya, selama tempoh hampir dua bulan memegang portfolio ini, beliau telah menerima 30 kes berkaitan isu membabitkan hal ehwal bukan Islam, yang belum diselesaikan dan perlu diberi pertimbangan.