MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka menyarankan setiap promosi pelancongan diteruskan dengan tindakan susulan.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jalaini Khamis berkata, langkah seterusnya penting dalam memastikan objektif promosi mencapai sasaran dan mengelak pembaziran ataupun sekadar gah pada nama promosi sahaja, namun tiada impak positif serta pulangan kepada kerajaan negeri.

"Kita tidak mahu hanya 'bising-bising' pada program promosi kemudian ia senyap dan hilang.

"Sebab itu, kena buat langkah seterusnya dan usaha ini juga mendorong lebih banyak hubungan dua hala dapat terjalin," katanya ketika pertemuan bersama wartawan Sumatera Barat di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh.

Dalam perkembangan lain, beliau juga bercadang supaya laluan penerbangan dari Melaka ke Sumatera Barat diwujudkan kembali bagi menarik pelancong dari daerah itu memandangkan negeri ini menyediakan pelbagai pakej pelancongan menarik termasuk pakej percutian persekolahan.

Menurutnya, selain kepelbagaian lokasi menarik, sektor perubatan yang berpatutan di negeri ini juga turut menyumbang kepada kehadiran lebih ramai pelancongan dari negara jiran, menjelang Tahun Melawat Melaka 2019.

"Selain makanan yang berbagai menu dan enak, saya yakin perubatan yang murah di negeri ini berbanding di tempat lain akan memberi kelebihan kepada Melaka serta menarik lebih ramai pelancong dari Indonesia dan negara lain juga.

"Kerana itu juga, kita akan menyediakan pakej pelancongan menarik dan kebetulan cuti persekolahan mereka di sana juga sama pada bulan Disember ini, maka banyak yang boleh kita rancangkan," katanya.

Pada pertemuan itu, Muhammad Jalaini turut beramah mesra dengan Pengurus Besar UDT Track Railof Travel and Tour, Mohd Noordin Kimi; wakil Wartawan Padang Ekspres Mustafa Akmal, Wartawan Haluan Feri, maulana SH Wartawan Pos Metro, Chandra Antoni SE, Wartawan kmKoran Padang, Nasrul Chaniago dan Wartawan Antara, Irfan Taufik.