SEREMBAN – Beberapa jalan di daerah ini termasuk bersempadanan Sepang/Port Dickson akan ditutup secara berperingkat-peringkat bermula jam 8.15 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, laluan bagi acara berkenaan yang bakal ditutup secara berperingkat- ialah Litar F1 Sepang - sempadan Sepang/Port Dickson - Lukut -  Jln utama Lukut/Seremban - Sendayan - LBJ - Enstek Technology Park - sempadan N.Sembilan/Selangor di Bangunan Halal.

“Dalam acara ini terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Endurance sejauh 165km membabitkan jumlah pelumba seramai 1,100 peserta yang dianggarkan bermula jam 7.15 pagi.

“Manakala, bagi Kategori Challenge Ride sejauh 90km jumlah peserta seramai 2,200 orang dianggarkan bermula jam 7.30 pagi.

"Bagi kategori ini, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyertai acara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian di sini, tadi.

Sehubungan itu, Ibrahim menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan bagi sempena penutupan jalan secara berperingkat-peringkat berkenaan.