NILAI - Projek pembinaan jalan baru Nilai-Labu ke Bandar Enstek bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri melalui pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) untuk melonjakkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi lebih pesat di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata perancangan pembangunan kawasan MVV yang komprehensif akan mengoptimumkan kesan limpahan pembangunan di Lembah Klang, khususnya Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan lebih sistematik dan menjadi pelengkap kepada pembangunan di kawasan berkenaan.

"Projek pembinaan jalan baru Nilai-Labu ke Bandar Enstek merupakan projek pemangkin dalam pembangunan MVV. Pembinaan jalan baru sepanjang 16.3 kilometer yang menelan belanja lebih RM400 juta ini akan dapat menghubungkan Nilai, Labu dan Bandar Enstek dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara lebih efisien, di samping melonjakkan pembangunan di kawasan sekitar jajaran jalan.

"Projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh empat tahun dan ia jalan 'dual carriage way'. Jalan baru ini laluan utama ke kawasan 'heartbeat projects' MVV dan akses ke cadangan Terminal Pengangkutan Bersepadu Labu yang akan menempatkan stesen kereta api berkelajuan tinggi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek pembinaan jalan baru Nilai-Labu ke Bandar Enstek, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Bhd Tan Sri Mohd Bakke  Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Mohamad berkata projek pembinaan jalan baru Nilai-Labu ke Bandar Enstek merupakan salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang diluluskan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Katanya tarikh milik tapak projek itu adalah 3 Julai 2017 dan ia dijadual siap pada Julai 2021.

Beliau berkata MVV adalah inisiatif usahasama antara kerajaan negeri dan persekutuan bersama-sama pihak swasta.

Berikutan usahasama itu, beliau berkata kerajaan akan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, rel kereta api, elektrik, air dan lain-lain bagi menyokong pembangunan projek swasta berimpak tinggi untuk dilaksanakan di MVV.

“Projek infrastruktur adalah pemboleh ubah kepada sesuatu pembangunan dan pertumbuhan sesuatu kawasan. Rangkaian perhubungan dan kemudahan infrastruktur yang efisien merupakan faktor yang akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi lebih pantas.

"Melalui perancangan komprehensif, beberapa projek infrastruktur  sebegini di Negeri Sembilan khususnya bagi  menyokong pembangunan MVV seperti projek menaik taraf  jalan dari Sepang (KLIA)-Teluk Kemang, Port Dickson; membina jalan susur tol baru  Seremban (Bandar Ainsdale) ke Jalan Lingkaran Tengah Seremban; pembinaan Lebuh Raya Senawang-KLIA (SKLIA) serta  projek kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur yang akan mempunyai sebuah stesen di Labu," katanya. - Bernama