KUALA PILAH - “Saya sempat bersarapan pagi bersama ayah makan roti canai dan minum teh di pekan Batu Kikir sebelum kejadian,” kata Nur Shamilatul Akhma Azizan, 20, ketika ditemui di rumahnya di Taman Putra, Batu Kikir, semalam.

Nur Shamilatul dan empat adiknya menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka, Azizan Sahari, 43, dan Norbaiti Awang, 44, maut dalam kemalangan jalan raya, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang menaiki motosikal jenis skuter Yamaha Ego dihempap dua tayar lori muatan pasir yang tercabut di Kilometer 10 Jalan Kuala Pilah - Baru Kikir.

Menurut Nur Shamilatul, dia dimaklumkan berita menyayat hati itu oleh petugas Klinik Kesihatan Juasseh kira-kira jam 11.30 pagi dan bergegas ke lokasi bersama ahli keluarga.

“Masa sampai tu, jenazah dah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

“Saya terus ke hospital. Saya hanya mampu menangis bila lihat ayah kaku bersama ibu. Padahal baru beberapa jam saya ada dengan ayah sebelum tu.

“Berat hati untuk terima takdir ini, namun saya reda. ALLAH lebih menyayangi mereka. Saya juga perlu kuat demi adik-adik," katanya.

Nur Shamilatul berkata, mujur kejadian itu berlaku ketika dia masih dalam cuti semester.

“Saya bersyukur dapat berada di sisi mereka kerana masih bercuti. Jika tidak, belum tentu saya sempat melihat wajah arwah buat kali terakhir,” katanya yang menuntut di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam jurusan teknologi bahan.

Anak kedua Allahyarham, Mohd Aqmarul Hisham, 19, berkata, dia terus pulang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat selepas menerima panggilan daripada kakaknya pada jam 11.45 pagi.

“Masa tu saya baru habis latihan futsal untuk Karnival Sukan Mahasiswa (Karisma) 2017 di Segamat. Pengurusan UiTM yang hantar saya balik dan terus ke hospital.

“Mula-mula masa terima berita tu, memang susah nak percaya. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu bila hilang ibu dan ayah serentak. Ini dugaan yang perlu kami terima dan perlu reda atas pemergian mereka,” katanya.

Selaku anak lelaki sulung dalam keluarga, Mohd Aqmarul berjanji akan menjaga adik-beradiknya.

“Tak sempat nak balas jasa mereka. Hanya iringan doa buat mereka dan saya akan sentiasa ingat pesan mereka supaya mengutamakan pelajaran,” katanya yang kini berada di semester tiga jurusan kejuruteraan awam.

Mohd Aqmarul berkata, buat masa ini tiga adiknya iaitu Mohd Amirul Aiman, 17, Mohd Aidil Adli, 15, dan Nur Fazlul Ain, 12, akan diletakkan di bawah jagaan ibu saudara yang tinggal berhampiran rumah mereka.

Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Perah Batu Kikir selepas solat Isyak, malam kelmarin.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA KANGSAR - Pertukaran laluan secara tiba-tiba dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan dua kereta dalam Terowong Menora menghala utara, di sini, pagi tadi.
  • BANDAR BAHARU - Selepas empat hari bertarung nyawa di wad Hospital Kulim, seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori kelapa sawit dalam kejadian Rabu lalu, Shaari Man, meninggal dunia.
  • BACHOK - Dua lelaki cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka berlanggar dengan sebuah kereta di depan Balai Polis Jelawat, malam tadi.
  • SIMPANG PULAI - Gara-gara terlelap ketika memandu, seorang wanita menjadi mangsa selepas terkorban dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands, semalam.
  • IPOH - Seorang penunggang maut selepas motosikalnya tercampak ke dalam longkang dipercayai terbabas sendiri ketika melalui Jalan Keramat Pulai menuju ke Cameron Highlands, petang tadi.