MELAKA TENGAH - Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminanthan menyelar tindakan segelintir individu yang cuba memburukkan kerajaan negeri menerusi media sosial.

Saminanthan berkata, ini termasuk memanipulasi fakta gambar beliau sehingga tular di media sosial dalam kejadian di dalam Dun pentadbirannya, baru-baru ini.

Katanya, gambar beliau di dewan bertemu sekumpulan wanita adalah lawatan tidak dirancang bagi mengetahui aktiviti dijalankan mereka kerana sebelum ini dimaklumkan bekalan elektrik di bangunan itu diputuskan juga jadi bahan tular.

Menurutnya, isu berkaitan bekalan elektrik terputus melibatkan beberapa dewan termasuk Balai Raya Gadek, sudah diketahuinya dan dalam tindakan susulan untuk diperbaiki bagi kegunaan masyarakat setempat.

“Saya datang ke tempat itu kebetulan saya berada dekat di kawasan berkenaan, sebelum bertemu rapat dengan mereka yang ketika itu baru selesai mengadakan mesyuarat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sebenarnya kita dalam proses membaiki bekalan elektrik di bilik Pulau Sebang itu.

“Bagaimanapun mereka masih guna bangunan itu untuk membuat mesyuarat AIM, tapi saya tak sangka ia tular dengan keterangan gambar berbeza dari fakta sebenar.

“Salahkah saya untuk mendekati rakyat dan mengetahui program-program mereka lakukan?

“Namun ada pihak yang memburukkan kami seolah-olah sengaja tidak mahu menyambung semula bekalan elektrik sedangkan saya dah beri jaminan bekalan elektrik akan disambung semula selewatnya minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Japerun Gadek, Redzuan Abdol berkata, masalah tidak seharusnya timbul kerana ia telah pun selesai dan dalam tindakan.

Katanya, sebelum bekalan elektrik diputuskan terdapat sebuah kedai makan di kawasan itu yang gagal melunaskan tunggakan bil elektrik berjumlah RM3,200.

Katanya, selain itu beberapa peralatan dalam balai raya dicabut dan diambil oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sejurus peralihan kuasa.

“Kita ambil masa untuk selesaikan masalah itu dan peniaga berkenaan tidak mahu bayar bil tertunggak dengan alasan dah lama tidak berniaga, jadi kami berbincang bersama dan akhirnya memberi peluang peniaga kuih bakar berniaga di situ.

“Saya tidak tahu mengapa isu itu timbul, malah kontraktor yang dilantik juga memberi jaminan agar bekalan elektrik akan disambung selewat-lewatnya hari ini (semalam),” katanya.

Tambah Redzuan, pihaknya berharap sebarang permasalahan disalur terus ke pihaknya dengan cara betul, bukan dengan tularkan berita ataupun gambar yang tidak sahih sumbernya.Isu bekalan elektrik putus di Balai Raya Gadek dimanipulasi netizen.