SEREMBAN – Kerajaan negeri dalam perancangan menubuhkan Institut Darul Khusus (IDK)  yang berperanan sebagai badan pemikir atau pusat kajian bagi mengenal pasti permasalahan dan keperluan rakyat.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, penubuhan institut seumpama itu di dua negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) sebelum ini iaitu Selangor dan Pulau Pinang ternyata amat berkesan dalam membantu kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita nak kenal pasti apa sebenarnya permasalahan dihadapi rakyat sehingga ke peringkat akar umbi kerana respons segera mereka itu penting.

“Kita tak mahu maklumat diterima itu lewat sehingga menggagalkan pentadbiran kerajaan negeri, jadi di sini pentingnya peranan institut yang akan ditubuhkan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini, semalam.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco dengan lebih lanjut bagi mendapat pandangan dan persetujuan semua pihak termasuk siapa yang akan menganggotainya.

"Banyak dasar baik yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini tetapi implementasi itu setakat di peringkat pentadbiran saja dan impaknya kurang kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu beliau memperkenalkan tema kepimpinan dan pengurusan kerajaan Negeri Sembilan iaitu Bersih, Muafakat, Sejahterakan Rakyat.

“Kita berharap akan terbentuk sistem perkhidmatan awam yang ikhlas, jujur dan amanah serta bebas daripada sebarang salah guna kuasa dan rasuah.

“Saya harap penjawat awam dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada saya dan bersama-sama menjadi sebuah keluarga besar di negeri ini. Jangan  disebabkan perbezaan ideologi politik kita tidak boleh berhubungan baik,” katanya.