SEREMBAN –  Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) mendesak Kerajaan Melaka menarik semula pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kelayakan memasuki perkhidmatan awam negeri itu.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, pengiktirafan sebegitu hanya akan meneruskan sistem dua aliran pendidikan yang berbeza dan menyumbang kepada pemisahan ideologi, cara hidup dan pergaulan dalam kalangan masyarakat.

“Kita sangsi dengan kesediaan Kerajaan Melaka mengambil penjawat awam lulusan UEC yang diketahui sukatan pelajarannya berkiblatkan negara China dan Taiwan serta mengekalkan bahasa Mandarin sebagai medium penghantar.

“Perkara ini tak boleh dipandang mudah kerana ia seperti kita mengiktiraf sistem pendidikan negara lain berbanding negara sendiri,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga bimbang ia akan mengundang kerapuhan jati diri pelajar kerana mengikuti sistem pendidikan berkiblatkan negara lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mana mungkin semangat patriotisme dapat disemai tanpa bersandar kepada kurikulum nasional sebagai teras pendidikan.

“Kita yakin pendidikan adalah wadah penting dalam usaha integrasi wujudkan perpaduan antara kaum serta pembinaan negara bangsa yang utuh dan harmoni.

“Jadi, I-Guru mendesak kerajaan Pakatan Harapan supaya lebih tegas menolak sebarang usaha halang perpaduan dan pada masa sama ketepikan perbezaan politik dalam menangani isu ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengumumkan pengiktirafan UEC sebagai syarat kelayakan memasuki perkhidmatan awam negeri itu sebagai memenuhi sebahagian janji Harapan pada PRU14.

Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan rasa tak puas hati pelbagai pihak.