JASIN - Meskipun berkeadaan tidak akibat penyakit strok tetapi demi kasihnya terhadap insan yang melahirkan, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) lembam, sanggup menjaga dan menguruskan sendiri ibunya yang mengalami cacat penglihatan.

Bagi Che Ros Osman, 48, semua halangan itu bukan alasan buatnya mengabaikan tanggungjawab tersebut terhadap ibunya, Che Mah Mad Som, 84.

Menurut Che Mah, selepas kematian suaminya lebih 20 tahun lalu dia hanya tinggal berdua bersama dengan anak tunggalnya itu namun kehidupannya diuji apabila dia mengalami masalah penglihatan.

Katanya, selepas penglihatannya terjejas anaknya itu mula mengambil alih tugas harian termasuk menguruskan dirinya.

"Alhamdulillah walaupun keadaannya begitu namun segala keperluan saya dijaga sebaiknya dan termasuk makan dan minum.

"Setiap hari seawal jam 7 pagi, dia sudah siapkan makanan untuk saya dan selepas menghidangkannya dia mula melakukan rutin harian yang lain seperti membasuh dan mengemas rumah," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Hazie Emas Enterprise, di rumahnya di Kampung Tehel Ulu, di sini.

Katanya, beberapa tahun lalu kehidupan mereka diduga lagi apabila anak yang menjadi tonggaknya itu tiba-tiba diserang strok.

"Mujurlah dia kuat orangnya dan tidak lama selepas itu dia kembali sembuh walaupun tidak seperti sebelumnya dan kini masih lagi perlu mengikuti kelas fisioterapi di klinik kesihatan.

"Saya sendiri setiap dua bulan sekali perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan susulan dan disebabkan ini kami berdepan masalah kewangan," katanya yang turut menerima bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim).