SUNGAI RAMBAI - Ibu seorang gadis OKU bersyukur kerana nasib anaknya itu diberi perhatian.

Juriah Mohamad berkata, anaknya, Siti Haizah Azizi, 20, kurang upaya sejak dilahirkan dan tidak mampu menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

Menurutnya, keadaan Siti Haizah yang hanya mampu duduk dan berbaring itu memaksa dia membuat permohonan kerusi roda daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Permohonan baru sahaja dibuat dan hari ini pihak JKM telah menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada kami.

"Saya sangat bersyukur kerana ia benar-benar membantu memudahkan saya untuk menguruskan Siti Haizah.

"Lebih-lebih lagi tanpa kerusi roda, saya tidak mampu untuk membawanya sama ke luar rumah dan berjalan-jalan," katanya.

Jelas Juriah, bantuan tersebut juga meringankan bebanan untuk membeli kerusi roda sendiri.

"Terima kasih kepada pihak JKM kerana membantu saya dan keluarga. Sekurang-kurangnya selepas ini kami tidak perlu bersusah payah mengangkatnya lagi," katanya ketika menerima bantuan kerusi roda di rumahnya di Jalan Tambak Merah di sini.

Hadir sama, Pegawai Kebajikan Daerah Jasin, Bahrin Md Lani dan Pembantu Kebajikan Adun Japerun Sungai Rambai, Mohamad Fiza Mohd Fuad.

Sementara Mohamad Fiza berkata, pihaknya bersyukur kerana JKM memandang serius hal-hal kebajikan dalam kawasan Dun itu.

"Dengan bantuan segera disampaikan JKM, golongan kurang bernasib baik ini lebih terbela.

"Kita juga berharap keprihatinan ini berterusan bagi memastikan nasib mereka sentiasa diutamakan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :