REMBAU – [VIDEO] Susulan menghadapi masalah semasa pembinaan termasuk reka bentuk, Hospital Rembau yang dijadualkan siap penghujung bulan ini dijangka hanya akan siap sepenuhnya pada Jun tahun hadapan.

Menteri Kesihatan Dr S Subramaniam berkata, pembinaan hospital berkenaan telah dimulakan sejak tahun 2013 dan sepatutnya tamat pada penghujung tahun ini, namun berlaku kelewatan tarikh siap berikutan beberapa masalah dalam pembinaan.

Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kini sedang memantau perkembangan projek yang kini mencapai sebanyak 82 peratus berkenaan dan dijangkakan selepas empat bulan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan, hospital berkenaan boleh digunakan.

“Kelewatan kerana beberapa masalah yang dihadapi semasa pembinaan dan pada masa sekarang kita dah lihat dan dapat maklumat dijangka penyiapan (Hospital Rembau) sebelum Jun 2018.

"Kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM 104 juta dalam pembinaan hospital ini yang bakal dilengkapi kemudahan 79 katil, wad perubatan lelaki, perempuan, wad bersalin, wad kanak-kanak dan kemudahan-kemudahan yang lain yang ada di dalam hospital,” katanya sempena lawatan kerjanya ke tapak projek Hospital Rembau, di sini, tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.