MELAKA TENGAH - Seramai kira-kira 200 umat Islam di Melaka mengadakan perhimpunan secara aman bagi menyatakan bantahan terhadap langkah kerajaan negeri mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai salah satu syarat pengambilan kakitangan kerajaan di negeri ini.

Mereka terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pas Melaka dan Umno negeri berhimpun selama kira-kira 30 minit di hadapan masjid negeri, Masjid Al-Azim di sini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sidek berkata, bantahan dibuat hari ini bukan bersifat rasis sebaliknya bertujuan melindung hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bukan Melayu sekiranya sijil itu diiktiraf.

"Sebagai kaum majoriti di Melaka iaitu 65 peratus, amat wajar orang Melayu membantah dasar diputuskan kerajaan negeri ini kerana ia akan mewujudkan jurang antara pelbagai kaum apabila UEC diterima pakai.

"Bagi kaum Cina pula, UEC turut menindas mereka yang belajar di sekolah-sekolah aliran perdana kerana sukatan UEC diadaptasi dari Taiwan.

"Tambahan pula, UEC akan menggunakan bahasa Mandarin jadi kesan jangka masa panjang nanti seumpama apa yang berlaku baru-baru sehinggakan peguam negara pun tidak tahu bertutur dalam bahasa Malaysia jadi ini satu masalah besar," katanya pada perhimpunan itu.

Turut serta, Timbalannnya, Abdul Halim Maidin dan Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka, Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim.

Menurut Kamaruddin, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan pengiktirafan sijil tersebut di Pejabat Ketua Menteri petang ini.

Selain itu katanya, Pas Melaka akan menghimpun semua NGO Melayu bagi membentuk satu gabungan yang besar menangani isu seumpama ini.

"Saya tengok NGO Melayu di Melaka agak lesu sebab kita tiada kesatuan, saya nak isu ini menjadi kebangkitan rakyat bersama dan semua NGO terlibat untuk menjadi 'checks and balances' kepada kerajaan yang ada.

"Sebab sekiranya rentak pemerintahan Ketua Menteri seumpama ini, saya jangkakan akan ada lagi isu-isu baru yang akan mencarit hak-hak kedaulatan orang Melayu akan berlaku," katanya.

Isnin lalu, Adly mengumumkan pengambilan lulusan UEC akan dilaksanakan sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri kerana ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14 lalu.