MELAKA TENGAH - Sejak disahkan mengalami ketumbuhan di otak tiga tahun lalu, seorang penarik beca dari Kampung Ujong Pasir di sini, kini mengalami masalah hilang ingatan.

Paling membimbangkan bagi Ismail Abd Razak, 48, apabila berlakunya jangkitan kuman pada bahagian tersebut sehingga menyebabkan tahap kesihatannya menjadi semakin merosot dan tidak lagi bermaya.

Kakaknya, Rohana Abd Razak, 50, berkata, Ismail tidak lagi bekerja sejak empat tahun lalu manakala perbelanjaan harian hanya mengharapkan pendapatan isteri sebagai tukang sapu sampah di sebuah sekolah berdekatan dengan gaji kira-kira RM1,000.

“Dia nampak saja macam sihat tapi kalau kita tanya dia tak boleh menjawab dengan betul, kita tanya lain jawabnya lain. Malah kita perlu sentiasa memantaunya takut keluar dari rumah seorang diri.

“Doktor maklum masalah ingatannya semakin serius disebabkan kuman yang sudah merebak di kepala, kini hanya bergantung kepada antibiotik. Pergerakannya juga tidak pantas malah akan menggeletar jika mahu memegang sesuatu,” katanya.

Katanya, selepas menerima lawatan Pegawai Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam (Maim), Mohd Nazri Abd Rahim dan Pengerusi Biro Kebajikan, Pembangunan Masyarakat (Pusat Khidmat Masyarakat) Majlis Jaksa Pendamai negeri, Amir Hamzah Aziz di rumah sewa Ismail di Ujong Pasir, di sini

Menurutnya, Ismail masih bernasib baik kerana tidak dipinggirkan keluarga malah selain adik-beradik mengambil berat, urusan sehariannya tetap dijaga baik isteri, Normala Loudet Lios, 48, dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Sejak dia sakit, isterinya yang ambil alih tugas mencari rezeki untuk persekolahan anak mereka berusia 8 dan 5 tahun, perbelanjaan dapur, ubatan dan sewa rumah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, sebelum ini pihaknya ada menerima permohonan daripada keluarga tersebut namun tidak diluluskan.

“Pada awalnya kita dapati sakit beliau (Ismail) tidaklah serius namun apabila melihatnya kini dengan ingatannya yang kian merosot dan pendapatan isteri yang tidak seberapa, kami bersetuju meluluskan segera bantuan makanan sebanyak RM200 sebulan.

“Selain itu, beliau juga layak menerima bantuan sakit kronik RM150 dan bantuan persekolahan anak RM100 setiap bulan selain bantuan ketika Aidilfitri,” katanya.