MELAKA TENGAH - Dua taman asuhan kanak-kanak (Taska) di negeri ini diarahkan tutup sementara selepas terdapat kanak-kanak yang dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada bulan ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong, berkata, taska yang ditutup itu melibatkan kanak-kanak pra sekolah di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah selain Jasin pada April lalu.

“Kes itu termasuk 1,163 kes penularan jangkitan HFMD yang dicatatkan Jabatan Kesihatan negeri (JKN) bermula Januari hingga Sabtu lalu dan ia menunjukkan peningkatan kes sebanyak 43.9 peratus berbanding tahun lalu hanya merekodkan 808 kes sahaja dalam tempoh sama.

“Saya menasihati pengusaha taska mahupun guru-guru dan juga penyelaras segera memaklumkan kepada JKN sekiranya terdapat kanak-kanak mereka yang dijangkiti HFMD termasuk tidak berselindung bagi kes ini,” katanya.

Menurutnya, pengusaha juga diminta melaporkan kluster HFMD kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan penularan kes itu.