MELAKA TENGAH - Polis menganggap siasatan bungkusan beg kertas mencurigakan yang ditinggalkan di sebuah bank di Ayer Keroh, di sini, selesai.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, individu wanita di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV)  telah tampil sendiri ke balai polis dan dia merupakan seorang kakitangan bank yang sama namun dari cawangan lain.

Menurutnya, kes berkenaan dianggap salah faham apabila individu tersebut meletakkan bungkusan yang mengandungi 300 keping spesimen kad tandatangan bagi membuka akaun bank.

“Wanita dalam rakaman CCTV telah tampil setelah melihat kenyataan polis dan rakaman foto CCTV kejadian tersebut yang dimuatkan Sinar Harian.

“Hasil maklumat wanita itu yang mahu menghantar kad itu kepada cawangan bank berkenaan namun rakan sekerja yang memohon kad tersebut bercuti ketika itu sebelum individu itu mengambil keputusan meletakkan beg kertas berhampiran mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN :Bungkusan di sebuah bank cetus curiga]

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mengenai tindakan seorang individu meninggalkan satu bungkusan beg kertas yang tidak diketahui isi kandungannya berhampiran mesin ATM di sebuah bank di Ayer Keroh, di sini, telah menimbulkan rasa curiga pihak pengurusan bank berkenaan.

Pengurus operasi bank berkenaan telah bertindak menghubungi polis untuk memeriksa isi kandungan beg terbabit.