SEREMBAN - Gurauan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Senawang di sini,  memakan diri apabila mengundang kemarahan rakannya sehingga berlaku pergelutan.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, menyebabkan pelajar terbabit patah kaki kiri dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Timbalan Ketua Polis Dearah Seremban, Superitendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 3.03 petang selepas kakak mangsa berusia 43 tahun membuat laporan polis .

“Berdasarkan laporan dibuat, pengadu (kakak mangsa) memberitahu adik lelakinya mengalami patah kaki akibat perbuatan salah seorang pelajar dari kelas yang sama.

“Mangsa memberitahu ketika di dalam kelas, dia telah bergurau dengan seorang rakan. Namun gurauannya itu menyebabkan rakannya marah walaupun mangsa telah pun meminta maaf,”katanya.

Bagaimanapun katanya, rakannya masih tidak berpuas hati dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Sulizmie Affendy berkata, pihak sekolah kemudian menghantar mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga.

“Doktor mengesahkan mangsa patah tulang kaki. Suspek telah dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dilakukan dengan menyiasat kes mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.