PORT DICKSON - Atas dasar prihatin dengan kejadian bencana alam yang menimpa masyarakat Lombok, Indonesia, kariah Masjid Kampung Bagan Pinang melancarkan Tabung Sinar Lombok.

Dalam masa dua minggu pelancaran tabung khas tersebut, sebanyak RM4,000 berjaya diperolehi hasil sumbangan dan derma daripada pengunjung serta jemaah kariah di kawasan itu.

Menurut Pengerusi Masjid Kariah Kampung Bagan Pinang, Shaharudin Mohd Hadi, tujuan utama tabung ini dilancarkan untuk membantu masyarakat yang memerlukan.

Katanya, apa yang menimpa masyarakat di Lombok itu perlu dijadikan sebagai satu iktibar yang boleh menginsafkan seluruh masyarakat di dunia ini.

"Jika hari ini mereka susah dan menderita, esok lusa tiada siapa yang tahu nasib kita di sini.

"Jadi dengan sumbangan yang ada ini kita berharap dapat meringankan beban yang ditanggung, selain membantu mereka membeli keperluan yang sepatutnya.

"Semoga mangsa di Lombok yang menghadapi setiap ujian dan dugaan yang diberi oleh ALLAH SWT itu tabah, sesungguhnya pasti ada hikmah yang menanti mereka kelak," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan majlis ringkas penyerahan tabung kutipan mangsa Lombok, Indonesia yang dikendalikan oleh Sinar Harian melalui #SinarPeduli Lombok.

Sumbangan diserahkan kepada Ketua Wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan, Sarinah Mat Kasim disaksikan sebahagian daripada AJK kariah masjid tersebut, semalam.