SEREMBAN – Kepimpinan Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) dan Majlis Belia Daerah (MBD) yang masih terlibat secara aktif dengan politik Umno diminta berfikir semula pendirian politik atau memilih meletakkan jawatan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, tindakan itu perlu bagi mengelakkan permasalahan berbangkit yang akan merencatkan usaha kerajaan negeri membangunkan belia di semua peringkat.

“Berdasarkan pemerhatian saya kebanyakan mereka ini mempunyai hubungan kuat dengan pemimpin politik terdahulu dan mempunyai jawatan dalam Umno dan ada juga yang bertanding dalam pemilihan Umno baru-baru ini.

“Sudah semestinya pendirian politik mereka tidak selari dengan kerajaan baru. Saya fikir, sebagai seorang yang matang, mereka sudah boleh buat keputusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, MBNS dan MBD adalah entiti utama mewakili belia di peringkat negeri serta diiktiraf kerajaan serta perlu menyokong dan membantu kerajaan baharu.

“Bukan bermaksud kita menghalang kebebasan setiap individu untuk menyokong mana-mana parti politik, tetapi ia berkaitan soal kepimpinan belia di bawah kerajaan.

“Kalau sekadar menyokong dalam pilihan raya, itu pilihan masing-masing. Tapi sekarang  ada yang pegang jawatan dalam Umno. Keadaan ini dikhuatiri timbulkan isu lain dan mengikut pengiraan saya, sudah semestinya mereka akan sedaya upaya menaikkan kepimpinan lalu. Jadi, bagaimana kita boleh bekerjasama dengan baik,” katanya.

Mohamad Taufek berkata, adalah lebih baik individu terbabit mengundur diri secara baik dan memberi ruang kepada kepimpinan baharu.