ALOR GAJAH - Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan seramai 67 pelajar dan dua guru di Madrasah Tahfiz Ainusyukriah Panchor, dekat sini, dipindahkan ke Masjid Ar Rahmah Kampung Panchor Durian Tunggal, petang tadi.

Tenaga pengajarnya, Abu Bakar Hazrami,27, berkata, pihaknya mengambil tindakan berpindah lebih kurang jam 3 petang setelah menerima arahan dari Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Panchor untuk berbuat demikian demi keselamatan warga itu.

Menurutnya, madrasah yang baru beroperasi sejak dua tahun lalu di kampung itu pernah dinaiki air sehingga ketinggian 1.5 meter pada Mac tahun lalu yang dipercayai berpunca daripada air yang melimpah dari sungai berhampiran termasuk Sungai Datuk Panchor selain air dari sebuah tasik berhampiran.

Katanya, ketika kejadian seramai 67 pelajar berusia 10 hingga 17 tahun daripada jumlah keseluruhan pelajar 80 orang sedang mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas sebelum dipindahkan manakala selebihnya pelajar sedang bercuti.

 

Sebahagian pelajar Madrasah Tahfiz Ainusyukriah Panchor yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Bencana Masjid Ar Rahmah Kg. Panchor Durian Tunggal petang tadi.

 

"Lebih kurang jam 6 pagi tadu air telah mula naik hingga paras betis dan kami juga telah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memindahkan barang ke bahagian tinggi.

"Dalam jam 3 petang kemudian kami mula memindahkan pelajar dengan menaiki tiga buah kereta ke masjid Kampung Panchor," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, pihaknya juga reda dengan bencana yang berlaku dan merupakan banjir kali keempat pada tahun ini mereka berpindah ke Pusat Pemindahan Bencana.

Selain itu, pelbagai pihak termasuk ADUN Durian Tunggal, Datuk Ab Wahab Ab Altip dan agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Alor Gajah serta Pejabat Kesihatan Alor Gajah telah turun padang memantau mangsa yang terjejas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • AMPANG - Hujan lebat kira-kira 40 minit pada jam 4 petang tadi menyebabkan banjir lumpur di sebuah pangsapuri di Taman Saga.
  • KOTA BHARU - Banjir kilat yang melanda Kota Bharu tempoh hari memaksa peniaga termasuk ‘tok seh karpet’ melelong barangan perniagaan mereka yang ditenggelami air bagi mengelak mengalami kerugian berterusan.
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.