AKSINYA yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran di Pasar Besar Seremban, September lalu pernah menjadi tular di laman sosial.

Disebabkan itu, Nor Maisarah Ibrahim, 27, yang bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba Seremban menerima permintaan ratusan individu tidak dikenali yang ingin menjadi rakannya di Facebook.

Mana tidaknya, bertubuh kecil dan berwajah ayu sesiapa pun pasti tertarik melihat anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan ini menunjukkan ‘auranya’ sebagai salah seorang anggota penyelamat.

Bagaimanapun, tiada sapa sangka rupa-rupanya sebelum berkhidmat sebagai anggota bomba, Nor Maisarah pernah bertugas sebagai jururawat selama tiga tahun sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Kolej Master Skill, Kuala Lumpur.

Kenangan ketika berkhidmat sebagai jururawat.

“Pada waktu itu juga, saya ada buat permohonan kerja di laman sesawang Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di mana pilihan pertama saya adalah dalam bidang kejururawatan.

“Tapi, saya tak sangka pilihan terakhir saya iaitu bomba yang diterima.  Kerana minat pekerjaan yang mencabar, saya tidak melepaskan peluang itu meskipun terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai jururawat,” katanya.

Tanggal 1 November 2016 merupakan permulaan baharu bagi Nor Maisarah apabila dia perlu menjalani latihan selama empat bulan di Wakaf, Tapai, Terengganu sebelum melaporkan diri di Seremban pada Mei lalu.

Dia mengaku semangat kentalnya sedikit goyah sepanjang latihan terbabit yang disifatkan agak berat bagi wanita.

“Saya perlu angkat mangsa seorang diri turun dari tingkat dua. Bayangkan dengan keadaan fizikal saya, perlu pula angkat orang.

“Pada waktu itu saya dah hampir putus asa, kerana baru nampak yang kerjaya sebagai bomba ini sangat mencabar dan memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.

“Mujurlah pada waktu itu rakan-rakan lain bagi semangat dan akhirnya saya dengan rasa penuh bangga dapat memakai pakaian seragam anggota bomba,” katanya.

Peranan hampir sama

Bercerita lanjut mengenai perbezaan kerjaya dahulu dengan sekarang, anak kedua dari tiga beradik ini berkata, peranannya hampir sama iaitu menyelamat, tapi bidang tugasannya berbeza.

Jika di hospital, Nor Maisarah bertugas di bahagian jantung dan merawat pesakit. Tetapi di jabatan bomba, dia perlu turun ke lokasi bagi memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa yang terlibat.

“Dua-dua selamatkan orang, tapi tugasan bomba ini lebih mencabar. Bila dalam operasi secara automatik saya tak fikir lagi tentang diri sendiri, tapi tentang tugasan atau orang yang perlu diselamatkan.

“Bagi saya ia satu amanah dan menjadi tanggungjawab saya sebagai salah seorang dalam pasukan untuk pastikan semuanya berjalan lancar.

“Menariknya kerjaya bomba, sebab macam-macam ada. Ada bahagian forensik, payung terjun, perubatan dan lain-lain. Malah saya juga boleh ambil kursus ular,” katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai pandangannya terhadap kerjaya bomba, Nor Maisarah berkata, anggota bomba boleh disifatkan sebagai hero kepada orang ramai.

Gambar Nor Maisarah yang menjadi tular ketika operasi memadam kebakaran di Pasar Besar Seremban.

Kerjaya berkenaan mungkin kurang dipandang, tetapi baktinya begitu besar dan bukan calang-calang orang yang bersedia berkhidmat dalam pasukan itu.

“Saya berbangga sebagai anggota bomba wanita. Mungkin ada yang fikir disebabkan saya wanita, mungkin dapat layanan istimewa. Tapi sebenarnya tak,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GUA MUSANG - [ VIDEO ] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat 58 penerbangan selama tempoh tiga hari bagi membawa keluar semua pelajar yang terkandas di empat pos pedalaman menggunakan helikopter.
  • SAUK - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan sebuah lori membawa muatan kayu dari hangus sepenuhnya di Kampung Baru Sauk, di sini, petang tadi.
  • SHAH ALAM - Kelab Ketua-Ketua Balai (KKB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merupakan kelab yang pertama ditubuhkan di negara ini membabitkan penglibatan di kalangan ketua balai bomba.
  • BATU KAWAN - Sebanyak 16 kes integriti di kalangan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bermula Januari hingga Oktober 2017.