MELAKA TENGAH - Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita selepas disyaki terlibat kes kematian seorang lelaki dalam kejadian di kaki lima premis di Taman Malim Jaya, di sini, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Mohd Nor Yhazid Idris berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 40 tahun itu ditahan di Kampung Bakar Batu, Bachang, Batu Berendam pada jam 4 petang, kelmarin.

“Sebaik menerima maklumat kami berjaya menjejaki seorang wanita berusia 32 tahun kira-kira jam 4 petang semalam (kelmarin).

“Daripada maklumat wanita terbabit, seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 40an berjaya kami tahan kira-kira jam 6 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini, semalam.

Mohd Nor Yhazid berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai ke bengkel berkenaan untuk mencuri besi buruk sebelum berlaku pergelutan dengan mangsa yang menyedari tindakan mereka.

“Motif pembunuhan bukan disebabkan samun kerana kesemua barangan berharga didapati tidak hilang.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 16 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Ahad lalu, seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terbaring dengan kesan tikaman pada leher di kaki lima sebuah premis perniagaan di Taman Malim Jaya.

Mayat Koo Kar Chung, 56, yang berlumuran darah ditemui oleh orang awam yang sedang sarapan di sebuah restoran berhampiran pada jam 7.30 pagi sebelum mendapati dia sudah tidak sedarkan diri.