REMBAU – Dua penjenayah dipercayai Geng Mamak ditembak mati oleh polis dalam satu kejadian di Jalan Chengkau-Pulau Mampat, di sini, awal pagi tadi.

Menurut sumber seorang penduduk yang tidak ingin namanya dikenali, dia ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat terdapat kes berkenaan dan tidak mengetahui dengan jelas apa yang berlaku.

Bagaimanapun menurutnya, dia difahamkan pasukan polis telah bertindak mengekori kenderaan yang dinaiki penjenayah berkenaan jenis Honda Accord dari susur keluar tol Pedas sehingga ke lokasi kejadian.

“Saya tak tahu bagaimana insiden tembak-menembak ini berlaku kira-kira jam 1.00 pagi tadi.  Dikatakan terdapat empat penjenayah, dua daripadanya ditembak mati, manakala, dua lagi melarikan diri.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian kira-kira jam 5.40 pagi mendapati kerja-kerja menarik kereta yang dinaiki penjenayah sedang dilakukan oleh pasukan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Anuar Bakri Abdul Salam ketika dihubungi menyatakan kepada wartawan untuk menunggu sidang media susulan insiden berkenaan.