TAMPIN – Hujan lebat lebih dua jam menyebabkan pengguna jalan utama Tampin-Gemas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd Taha, Gemencheh, di sini, terpaksa meredah banjir kilat berhampiran persimpangan sekolah berkenaan.

Seorang pengguna jalan raya, Ahmad Kamal, 42, berkata, dia dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas bercuti panjang dan terkejut apabila lokasi berkenaan dinaiki air setinggi kira-kira 50 meter.

“Ada pengguna jalan raya terutamanya kenderaan kecil menggunakan laluan alternatif iaitu masuk di jalan berhampiran premis perniagaan dan keluar di persimpangan, kerana bimbang melalui laluan yang berair deras berkenaan.

“Saya dimaklumkan kejadian kira-kira jam 5 petang ini merupakan kejadian kali kedua di kawasan jalan ini.  

"Banjir kilat ini berlaku dalam tempoh kurang empat bulan disebabkan limpahan sistem saliran di kawasan berkenaan tidak mampu menampung aliran air,” katanya ketika ditemui petang kelmarin.

Ahmad berkata, diharapkan agar pihak bertanggungjawab dapat memandang serius mengenai masalah banjir kilat di jalan utama berkenaan demi keselesaan pengguna jalan raya.

Sinar Harian 2 Jun lalu melaporkan masalah yang sama dan permohonan telah dibuat melalui Pejabat Dun Gemencheh bagi kerja naik taraf kemudahan longkang berkenaan kepada agensi berkaitan.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.