SEREMBAN – [VIDEO] Dua kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan semalam kerana disyaki menerima rasuah bagi menjual kabel milik syarikat itu secara tidak sah sejak dua tahun lalu.

Suspek yang berusia 29 dan 30 tahun itu merupakan Pembantu Pegawai Teknik TM ditahan di sebuah ibu sawat TM di Johor antara jam 4.25 dan 5.30 petang.

Menurut sumber suspek dipercayai telah menerima rasuah RM7,650 untuk membawa keluar drop fiber berjenama Lite Kabel milik TM untuk dijual di pasaran.

Kedua-dua mereka telah direman enam hari selepas perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Nur Hayatie Mohd Saini susulan permohonan dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa SPRM negeri, Mohd Khairi Abdul Karim di Mahkamah Khas Reman Seremban pagi tadi.

Sehingga kini sembilan individu ditahan SPRM negeri ini bagi siasatan kes rasuah melibatkan penjualan kabel syarikat itu secara tidak sah di pasaran Negeri Sembilan dan sekitarnya yang menyebabkan TM kerugian antara RM4 juta hingga RM6 juta.

Pada Rabu lalu, SPRM telah menahan tiga suspek berusia 30 hingga 47 tahun yang merupakan pengarah syarikat, ahli perniagaan dan juruteknik berhubung kes tersebut.

Empat lagi suspek melibatkan tiga juruteknik dan seorang pembantu makmal di sebuah sekolah di Johor berusia 23 hingga 32 tahun ditahan di beberapa lokasi di negeri itu kira-kira pukul 8 malam kelmarin.

Mereka diberkas susulan penahanan sembilan individu termasuk kakitangan TM di sekitar Kuala Lumpur Rabu lalu kerana salah guna kuasa dan rasuah selepas mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu kepada TM untuk membawa keluar kabel milik syarikat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Dua pegawai kerajaan hari ini mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan rasuah dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara serta didenda oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini.
  • JOHOR BAHRU - Seorang Penolong Pegawai Veterinar sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500 dari seorang pengurus syarikat antara November 2013 hingga Oktober 2014 lalu.
  • IPOH - Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM90 kepada Pegawai Imigresen, Mac lalu.
  • SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM20,000 dan penjara 28 bulan ke atas seorang anggota polis berpangkat koperal kerana didapati bersalah atas tuduhan meminta dan menerima suapan pada Januari 2013.