AYER KEROH - Dua juvana mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul kehormatan seorang remaja berusia 17 tahun, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 17 tahun 10 bulan dan 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut di dalam prosiding tertutup selepas faham pertuduhan yang dibaca jurubahasa di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Seorang daripada tertuduh berusia 17 tahun 11 bulan yang berhadapan dua pertuduhan didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dengan cara memasukkan zakar ke dalam mulut mangsa seorang wanita berusia 17 tahun 10 bulan.

Kesalahan itu dilakukan di dalam semak di atas bukit berhampiran Kem Askar Wataniah Bukit Beruang, jam 4.30 pagi pada 21 Februari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia yang dituduh mengikut Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 30 tahun dan sebat, didakwa merogol mangsa sama di lokasi dan tarikh sama kira-kira jam 4.20 pagi.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa sama di lokasi dan pada tarikh sama kira-kira jam 3.45 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa, Raya Nor Shazwani Ishak yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM2,000 terhadap tertuduh pertama dan RM1,000 bagi tertuduh kedua.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM2,000 dan RM1,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 April depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 19 tahun tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dakwaan merogol kekasihnya secara bergilir-gilir dengan lima rakan.
  • REMBAU - Seorang pekerja kantin sebuah sekolah rendah di daerah ini ditahan selepas dipercayai merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, yang juga merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di Seremban.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang remaja mengaku bersalah merogol gadis bawah umur dalam kejadian empat tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
  • SUNGAI PETANI - Seorang bapa mengaku tidak bersalah merogol anaknya berusia 14 tahun di Mahkamah Sesyen 2 Sungai Petani hari ini.
  • SUNGAI PETANI - [VIDEO] Seorang bapa tergamak melakukan perbuatan terkutuk merogol dan mencabul anak perempuan sendiri berusia 13 tahun dalam kejadian di rumah mereka dekat Jeneri, Sik, Kedah.