SEREMBAN - Polis menembak mati dua lelaki disyaki saki baki ahli kumpulan samun Geng Mamak di Jalan Seremban-Tampin, di sini, sekitar jam 12.30 tengah malam semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, kedua-dua suspek bertindak demikian selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan lalu merempuh papan tanda di tepi jalan.

"Masa tu, sepasukan anggota Cawangan D9 dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang sedang buat rondaan telah terserempak dengan kereta Honda Accord terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka dah cuba tahan, tapi kereta tu terus memecut laju ke arah Jalan Chengkau-Pilin, Rembau. Maka berlaku kejar-mengejar antara kedua-duanya lebih kurang empat kilometer, sebelum berjaya dipintas polis.

"Sejurus kemudian, suspek di bahagian kanan kenderaan telah melepaskan tembakan manakala dua lagi suspek di bahagian kiri kenderaan dapat melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran," katanya.

Berdasarkan pemeriksaan dibuat, kata Noor Azam, dua suspek dipercayai lelaki Melayu tanpa pengenalan diri ditemui mati di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka turut menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver .32 berhampiran suspek pertama dan sebilah parang berhampiran suspek kedua.

"Kedua-duanya berusia 33 dan 35 tahun dengan alamat terakhir di Taiping, Perak. Masing-masing mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Mereka disyaki terlibat dalam kejadian samun terhadap mangsa yang keluar dari bank dan kumpulan berkenaan bergiat aktif sejak tahun 2015 hingga tahun ni.

"Dengan tumpasnya kedua-dua suspek ni, kita percaya dah selesaikan 45 kes samun di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM1 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.