SEREMBAN - Seorang warga emas ditemui tidak bernyawa di sebuah bangku depan kedai dekat Pekan Lenggeng, di sini, semalam.

Mangsa, Baharuzi Maulud, 69, berasal dari Kampung Sungai Machang, ditemui terbaring oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut sekitar jam 11 pagi.

Menurut saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, dia terlihat mangsa terbaring dalam keadaan mencurigakan serta tidak bergerak dalam tempoh masa yang lama.

“Saya tidak sedap hati, lalu saya kejutkan dia namun tidak bergerak, kemudian saya rasa nadi di tangannya namun tidak dapat dikesan.

“Kami yang ada di situ terus ke Klinik Kesihatan Lenggeng untuk minta bantuan ambulans dan selepas itu pegawai perubatan yang datang mengesahkan pakcik ini sudah meninggal dunia,” katanya.

Tambahnya, mayat tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan susulan.