TAMPIN – Seorang remaja maut selepas baru saja disahkan lulus ujian menunggang motosikal kelas B2 di sebuah sekolah memandu di sini, semalam.
Muhammad Farid Iwadh, 16, meninggal dunia selepas motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggangi terbabit dalam langgar lari di Kilometer 0.7 Jalan Tampin - Gemas di sini.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah sebaik saja selesai menjalani ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ketika kejadian, mangsa yang mempunyai lesen memandu L sudah lulus lesen memandu penuh.
Mangsa dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Baiduri, Kuala Ina, di sini dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah lori kecil seberat tiga tan.
Bapa mangsa, Khalil Meon, 47, berkata, sebelum hendak pergi menjalani ujian menunggang motosikal itu, arwah sempat bersalam dan mencium tangan ibu bapanya.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kemalangan menimpa arwah memang memeranjatkan kami sekeluarga.
“Saya mengizinkan arwah berulang alik ke sekolah memandu bagi mengambil lesen motosikal sejak musim cuti sekolah ini supaya arwah patuh dengan undang-undang jalan raya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini semalam.
Khalil berkata, dia sempat menghubungi sekolah memandu berkenaan bagi mengetahui status ujian JPJ anaknya, sebelum dimaklumkan wakil sekolah memandu itu bahawa anaknya lulus dalam ujian berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar dari belakang oleh lori seberat tiga tan.
“Mangsa maut dalam perjalanan ke HT akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota dalaman.
“Buat masa ini, pemandu lori berkenaan masih belum tampil bagi membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TAMPIN - Penduduk dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan stesen minyak serta deretan kedai berhampiran Kampung Sri Gemencheh kesal apabila lokasi berkenaan menjadi tempat parkir lori.
  • TAMPIN - Lelaki yang mengalami bengkak pada kaki dan masalah obesiti lebih 250 kilogran (kg) dipindahkan dari Hospital Tampin ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah bagi rawatan lanjut, hari ini.
  • TAMPIN - Gara-gara menegur supaya tidak menyiram air di tapak pembinaan kepada pekerja tokong, seorang kontraktor warga emas putus tiga jari tangan kiri iaitu jari hantu, manis dan telunjuk dalam kejadian di tapak pembangunan belakang Tokong Cina Taman Woon, di sini, petang semalam.
  • TAMPIN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan telah mengambil tindakan ke atas isu viral dalam laman sosial facebook berhubung harga nenas di sebuah pasaraya di daerah ini.
  • TAMPIN - SATU putung rokok ditemui di kaki lima sebuah stor berhampiran Gelanggang Futsal Taman Gunung Mas Tampin, di sini, yang terbakar dalam kejadian Khamis lalu.