• Bomba terperosok Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperosok bawah lori.
1 /

ALOR  GAJAH - Dua maut manakala seorang lagi parah selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori muatan makanan ringan ketika sedang menukar tayar lori perabot yang pecah di Kilometer 199.4, arah utara Lebuhraya Utara-Selatan dekat Alor Gajah, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, mangsa yang maut  di tempat kejadian, Bashier Ahmed Abd Sulami, 45, bersama dua rakannya Hasan, 31, dan seorang lagi rakan sedang membaiki tayar dibantu pemandu lori lain,  Khairunizam Abdullah, 33, sebelum dirempuh sebuah lori muatan makanan ringan dipandu seorang lelaki berusia 51.

Jurucakap polis berkata, Hasan tersepit di bawah lori makanan ringan terbabit selepas dirempuh dan terseret. Khairunizam tercampak di lokasi berdekatan.

“Ketika kejadian keempat-empat mangsa sedang menukar tayar sebelah kanan hadapan lori muatan perabot itu sebelum dirempuh lori mua-tan makanan ringan terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan tiga mangsa berkenaan gagal mengelak, namun seorang rakan mangsa sempat melarikan diri sebaik menyedari sebuah lori makanan ringan meluncur laju ke arah lori dinaiki mereka bertiga,” katanya.

Jurucakap polis berkata, rempuhan berlaku sekelip mata dan mangsa belum sempat memasang tayar baru selepas dibantu Khairunizam yang memberhentikan lorinya tidak jauh dari lokasi kejadian bersama isteri dan dua anak kecil mereka.

“Hasan dirempuh, diseret beberapa meter sebelum tertimbus dengan tanah tebing jalan dan tersepit di bawah lori makanan ringan berkenaan. Badan mangsa turut bergelumang dengan minyak hitam.

“Sementara itu, Khairunizam yang tercampak selepas dirempuh hanya terbaring, namun berada dalam keadaan sedar sebelum sebuah lori berhenti dan menghulurkan bantuan menghubungi bantuan kecemasan,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan tersepit di celah bawah lori makanan ringan itu, Hasan tidak mampu bersuara, bagaimanapun dia memberi isyarat gerakan perlahan tangannya sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba untuk membantu mengeluarkannya.

Sempat hubungi majikan

Majikan mangsa maut, Muhammad Bashar, 35, berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua lagi rakan dalam perjalanan pulang ke Nilai, Negeri Sembilan, selepas selesai menghantar perabot di Muar, Johor, sebelum terbabit kemalangan.

“Kira-kira jam 10.45 malam mangsa ada menghubungi saya memberitahu tayar hadapan sebelah kanan pecah sebelum saya kemudiannya menerima maklumat mereka semua terbabit dalam kemalangan tanpa mengetahui mangsa sudah meninggal dunia.

“Saya tak sangka itu panggilan terakhir mangsa kepada saya selama lebih sepuluh tahun mangsa tinggal di negara ini. Sebagai sumbangan akhir kami akan bantu selesaikan segala urusan penghantaran mangsa pulang semula ke Pakistan,” katanya.

Sukar keluarkan mangsa

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan S.A.Pillay berkata, lapan anggota bersama sebuah jentera dan dua unit Skuad Gerak Cepat (SGC) bergegas ke lokasi kejadian dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil.

“Setiba di lokasi mendapati mangsa maut berada di tebing jalan manakala mangsa yang tersepit terperosok di bawah lori makanan ringan yang sudah terbalik mengiring ke kanan dalam keadaan enjin masih hidup kerana penggunaan enjin hidraulik.

“Anggota mengalami kesukaran mengeluarkan mangsa kerana kedudukan mangsa dan bomba menggunakan peralatan khas untuk memotong beberapa bahagian bawah enjin sebelum menarik keluar mangsa.

“Bomba mengambil masa lebih 45 minit untuk keluarkan mangsa yang berada dalam keadaan lemah serta sudah dibasahi minyak lori sebelum diserah kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Pengarah Pertahanan Awam Alor Gajah, Leftenan Muda Hamdan Mohd Saat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kemalangan berkenaan kira-kira 11.20  malam dan bergegas ke lokasi kejadian

“Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka menggunakan dua buah ambulan dari  JPAM,” katanya. 

Bagaimanapun, mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), kira-kira 9 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 

* Laporan lanjut dan lagi gambar dalam Sinar Harian edisi Melaka-Negeri Sembilan hari ini