BANDARAYA MELAKA - Surau Muhammad Al-Waliyah, Pulau Gadong di sini, memperuntukkan RM10 bagi setiap anak muda bawah 15 tahun yang datang menunaikan solat tarawih di surau berkenaan sepanjang bulan Ramadan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hasan berkata, ia sebagai satu usaha untuk mengimarahkan surau berkenaan oleh kalangan anak-anak muda.

Menurutnya, inisiatif tersebut sudah dijalankan sejak tiga tahun lalu dan ternyata berhasil apabila saf-saf solat tarawif sentiasa penuh sehingga ke akhir Ramadan.

“Kebiasaannya lebih 50 anak-anak muda tampil dan kedatangan mereka kita catat. Maknanya sekiranya mereka datang penuh, dapatlah RM300 yang diharapkan untuk mereka beli persiapan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Selain itu, mereka juga diwajibkan menyertai kelas-kelas fardu ain yang diadakan dan dikendalikan oleh seorang tenaga pengajar. Mereka akan diingatkan tentang fadilat berpuasa, cara ibadah dengan betul sehingga diajar tentang bacaan doa,” katanya.

Katanya, habuan tersebut akan diberikan pada penghujung Ramadan.  

Tambah Mohd Yusof, apa yang dilakukan sebagai satu dorongan buat anak-anak muda agar mereka tidak menghabiskan masa di tempat-tempat lain dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

“Justeru, masa mereka kita penuhi dengan program-program agama sepanjang Ramadan ini,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.