BANDARAYA MELAKA - Seorang suami yang menghidap Steven Syndrome Johnson sehingga kedua belah matanya tidak dapat melihat mengharapkan sekurang-kurangnya salah satu mata boleh pulih bagi membolehkan dirinya meneruskan kehidupan.

Menurut Hamdan Hashim, 30, dia sukar untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM10,000 bagi kos pembedahan mata atau Limbal Stem Cell Transplant.

Ini kerana katanya, isteri, Nurhidayah Hassan, 29, juga tidak bekerja dan mereka kini menumpang teduh di rumah nenek di Kampung Morten.

“Semuanya berpunca dari sakit mata dan alergik ubat kemudiannya menyebabkan badan terbakar dan hilang penglihatan sebelah mata malah doktor mengesahkan saya menghidap Steven Syndrome Johnson sejak awal tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, tiada apa yang diharapkan selain dapat melihat dirinya seperti sedia kala biarpun dengan sebelah mata.

"Cuma apa yang sering saya berdoa biarlah mata kiri dapat diselamatkan dan dapat melihat biarpun terbatas. Saya rasa sangat berdosa, sudah lama tak bagi duit dekat ibu dan isteri, mereka pula yang tanggung saya.

"Sekurang-kurangnya bila dapat jalani pembedahan nanti, dapatlah saya galas kembali tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya biarpun doktor menyatakan potensi untuk sembuh hanyalah 50:50, namun saya tetap mahu ikhtiar,” katanya dengan nada sebak.

Hamdan yang ditemani isteri berkata demikian kepada sidang media di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sementara itu, Nurrhidayah berkata, dia kini memulakan perniagaan secara online demi kelangsungan hidup suami isteri.

“Kalau nak ikutkan perbelanjaan bulanan memang tak cukup selepas suami terpaksa berhenti kerja sebagai penjaga stor di sebuah kilang. Sebab itu saya cuma berniaga online sekurang-kurangnya kurang sikit beban.

“Kini saya hanya mampu berdoa agar ALLAH permudahkan segalanya agar dia dapat melihat semula biarpun sedikit. Sebab itu saya amat mengharapkan bantuan orang ramai untuk suami saya dapat menjalani pembedahan itu nanti,” katanya.

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz, berkata, pihaknya akan bersama membantu mengumpulkan dana termasuk mendapatkan sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan juga menguruskan proses pembedahan itu nanti.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Hamdan bernombor 104068296200.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TANAH MERAH - Mangsa tanah runtuh ketika mencari emas di Sungai Sokor, minggu lalu, memerlukan bantuan kira-kira RM7,000 bagi membolehkan dia menjalani pembedahan.
  • MALAYSIA - SEORANG ibu tunggal merayu sumbangan bagi membantunya membeli mesin oksigen untuk anak lelakinya Muhammad Nabil Mohd Firdaus, 7, yang mengalami masalah kelumpuhan otak sejak lahir.
  • SEREMBAN - Penerima bantuan motosikal menerusi Program Usahawan Bergerak Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (Mobilepreneur@KKLW) perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan berkenaan.
  • JERANTUT - Bukan sahaja dilahirkan tidak cukup bulan, malah turut menghidap masalah tempurung kepala sempit dan kecederaan otak.
  • PASIR MAS - Seorang pemuda menawarkan perkhidmatan kereta percuma untuk golongan kurang berkemampuan berulang alik ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan.