KUALA PILAH - Kerinduan seorang bekas guru terhadap muridnya terubat apabila bertemu semula ketika mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan di Teratak Manja, Kampung Sungai Dua di sini.

Pesara guru, Abd Ghafar Abd Ghani, 76, sanggup mengeluarkan wang poket sendiri untuk tujuan tersebut buat anak murid tersayang.

“Alhamdulillah, dapat juga bertemu mereka yang ketika itu saya mengajar pada tahun 1977 hingga 1079 di Sekolah Menengah Sains Negeri Sembilan (SMSNS) Gentam.

“Ketika itu saya menjadi guru kelas mereka selama tiga tahun yang lebih sinonim dengan nama Kelas Bohr dan saya mengajar mereka mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Seni Lukis.

“Siapalah tak rindukan? Zaman mengajar maka tercetuslah idea ini ketika saya bertemu salah seorang anak murid di pekan Kuala Pilah sebelum Ramadan lalu,” katanya.

Jelasnya, masih berpegang kepada prinsip hidupnya yang tidak suka menyusahkan orang lain dan sehingga kini masih terbawa-bawa walaupun telah bersara.

“Maka majlis ala-ala ‘reunion’ ini saya adakan secara percuma tanpa mengenakan apa-apa bayaran pun kepada bekas murid saya.

“Mereka hanya perlu ‘bawa badan’ dan ‘lenggang kangkung’ sahaja dan tidak perlu susah-susah untuk membawa makanan dan lain-lain.

“Mungkin disebabkan saya tiada anak, maka sayang saya terhadap mereka tidak pernah pudar walaupun ada di antara mereka saya tidak pernah bertemu semenjak bersara,” katanya.

Beliau juga dikenali dengan jolokkan ‘cikgu rombongan’ kerana sering mengadakan lawatan dan aktiviti riadah pada musim cuti sekolah.

Sementara itu, penyelaras program, Norshila Mohd Nordin, 54, berkata, sehingga kini, mereka menganggap Abd Ghafar sebagai ayah.  

"Kami faham dalam situasi beliau yang bersendirian sudah pasti inginkan sesuatu untuk menghiburkan hatinya.

“Justeru, pada kesempatan yang ada ini, kami tidak melepaskan peluang untuk bersama beliau dan sudah pasti memori ini akan menjadi kenangan sampai bila-bila,” katanya.