MELAKA TENGAH - Calon jawatan Speaker Dun yang baharu sudah disenaraikan dan dijangka diumumkan pada 28 Jun ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, terdapat dua nama disenarai pendek bagi jawatan tersebut dan pemilihannya akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Neger, Rabu ini.

“Setakat ini ada dua nama. Kita akan bawa nama-nama tersebut dalam Mesyuarat Exco pada Rabu dan umumkannya pada Khamis,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan individu yang dilantik untuk memegang jawatan dan tanggungjawab tersebut adalah seorang yang berpengalaman luas dalam bidang politik bersama Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan Kementerian Sumber Manusia supaya pemilik restoran mengutamakan tukang masak tempatan bekerja di premis  yang diusahakan.

Menurutnya, pengawalan itu perlu dalam usaha mengekalkan nilai tradisi tempatan khususnya bagi negeri tumpuan pelancong seperti Melaka.

“Kita sedia mempertimbangkan cadangan bagi menjaga tradisi Melaka. Pelancongan sebenarnya turut memberi nilai dari sudut mengekalkan tradisi masakan, sejarah dan warisan yang kita miliki.

“Pengawalan itu perlu ada untuk memelihara sebahagian nilai tradisi, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Melaka untuk menyertai pembangunan di peringkat negeri,” katanya.