SEREMBAN – Calon PKR kerusi Dun Rantau pada PRU14, Dr S Streram memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Seremban semalam bagi mencabar keputusan pilihan raya kawasan berkenaan.

Pakar bius berusia 63 tahun itu memfailkan petisyen melalui peguam G P Sreekant, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Santhia Stella Sidhu, kira-kira jam 11 pagi.

Petisyen itu dibuat bagi memohon perintah mahkamah supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kawasan terbabit kerana mendakwa terdapat perbuatan salah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam petisyennya, Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agos sebagai responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Pada 28 April lalu, Mohamad yang juga calon BN diumumkan menang tanpa bertanding oleh Amino Agos di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau.

Keputusan itu dibuat selepas SPR hanya menerima satu pencalonan iaitu daripada Mohamad dalam tempoh ditetapkan, manakala Streram tidak dibenarkan masuk ke dalam pusat penamaan calon bagi melengkapkan proses pendaftaran berikutan didakwa tidak mempunyai pas masuk.

Beliau ketika dihubungi berkata, meskipun keputusan penuh PRU14 berpihak kepada Pakatan Harapan (Harapan), namun petisyen itu dibuat bagi menuntut keadilan.